top of page

SKMM diarah bertindak ke atas individu keluar kenyataan bersifat buli siber



Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan bertindak terhadap sejumlah individu yang didapati telah mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai membuli siber di platform media sosial seperti Facebook dan TikTok.


Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerajaan perlu menetapkan had supaya pihak terbabit menghentikan perbuatan mengeluarkan kandungan atau memuat naik komen jelik atau lain-lain perkara yang melanggar undang-undang.


"Jadi, kita mesti menetapkan had. Hari ini saya telah minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk bertindak terhadap sejumlah individu yang telah didapati dalam Facebook atau TikTok live mengeluarkan perkataan-perkataan yang boleh ditafsirkan sebagai membuli siber atau mengeluarkan kandungan atau memuat naik komen yang jelik dan lain-lain yang melanggar undang-undang," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan CelcomDigi di Hub CelcomDigi, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.


Dalam sidang media itu, Fahmi turut mendedahkan seorang individu yang dipercayai terlibat dengan kes buli siber melibatkan seorang pempengaruh wanita sehingga meninggal dunia baru-baru ini. Individu tersebut menghubungi sekurang-kurangnya dua wartawan dengan perbuatan seolah-olah melakukan ancaman.


"Ada sekurang-kurangnya dua wartawan menghubungi saya, mengadu bahawa orang yang dipercayai telah melakukan buli siber terhadap mendiang Esha (A. Rajeswary) juga telah menghubungi mereka dan mereka berasa sangat takut pada masa itu.


"Hal ini kerana (individu itu) sanggup ambil gambar tempat tinggal mereka, ahli keluarga mereka, jadi ini ialah ugutan jenayah," katanya dipetik.


Fahmi berkata, kebanyakan pembuli dalam media sosial biasanya menggunakan akaun palsu untuk mengelakkan perbuatan mereka dikesan sedangkan perlakuan itu merupakan satu kesalahan.


Keadaan itu katanya, menyebabkan ramai individu yang berdepan buli siber menderita dalam diam dan tidak mendedahkan kepada umum sehingga menyukarkan tindakan diambil.


"Masalah kita sekarang ialah kesalahan buli siber terutama dalam live (siaran langsung) seperti apa yang berlaku kepada mendiang Esha, beberapa pembuli siber ini memuat naik gambar beliau sebagai latar belakang untuk TikTok Live dan jemput beratus orang yang hadir untuk mencemuh, malah sehingga boleh dianggap sebagai serangan seksual," katanya.


Dalam pada itu, Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bagi membincangkan perkara berkaitan buli siber.


Fahmi berkata, mesyuarat itu bagi mendapatkan pandangan semua pihak sebelum perkara dibawa ke mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.


"Kita nak pastikan Internet selamat digunakan terutama kanak-kanak dan keluarga, kita mesti berpada-pada dan semua ini akan dibincang dengan dua menteri terlibat sebelum dibawa ke Kabinet pada Jumaat ini," katanya.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page