Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil menegaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhak mengambil tindakan terhadap mana-mana organisasi media yang melaporkan berita palsu.
Memberi contoh mengenai laporan sebuah agensi berita pada waktu enam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kononnya seorang pemimpin pembangkang telah ditahan dan hal itu tidak benar, Fahmi berkata, SKMM telah bertindak mengikut peraturan dan undang-undang berhubung hal berkenaan.
"Sebenarnya ia adalah palsu. Dalam kes-kes sedemikian, agensi penguatkuasaan berhak mengambil tindakan terhadap organisasi media terbabit.
"Terbukti bahawa agensi media itu salah," katanya dipetik.
Fahmi mengulas kenyataan sekumpulan wartawan veteran, ketua pengarang berita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memandang serius tindakan SKMM ke atas beberapa portal berita.
Antaranya membabitkan portal berita MalaysiaNow yang diarahkan untuk menurunkan kandungan berita mengenai kekecohan di Dewan Rakyat pada 19 September lalu.
"Dalam usaha kita mendapatkan berita, bukan sahaja penting menjadi yang pertama melaporkan, tetapi melaporkan yang benar berasaskan fakta.
"Saya fikir ini terpakai untuk semua. Saya menggalakkan SKMM bersemuka dengan semua organisasi," tambah Ketua Penerangan KEADILAN itu dalam sidang media selepas merasmikan Pelancaran Media Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 di Petaling Jaya pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak berlaku adil dalam menilai tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SKMM.
Comments