
Kerajaan Negeri Sembilan mengenang jasa barisan hadapan negeri itu dengan memperkenalkan takaful Khairat Kematian Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Harun melalui skim itu, waris ahli MPKK akan menerima bantuan kecemasan serta merta sebanyak RM2,000 bagi kematian biasa dan RM6,000 sekiranya disebabkan oleh kemalangan.
"Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), barisan hadapan yang sentiasa bertungkus lumus membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti dan mengagihkan bantuan makanan asas kepada golongan yang terjejas khususnya mereka yang dalam tempoh kuarantin adalah Ahli-Ahli Jawatankuasa MPKK.
"Merekalah hero yang tidak didendang yang sanggup meredah hujan malam menghantar bantuan dari rumah ke rumah walaupun sedar diri mereka turut berhadapan risiko jangkitan.
"Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin barisan hadapan ini, sukacita saya umumkan satu lagi inisiatif baharu iaitu caruman takaful Khairat Kematian MPKK kepada seramai 13 Ahli Jawatankuasa bagi 433 MPKK dengan peruntukan sebanyak RM250 ribu," katanya dalam sidang DUN semalam.