Skim kawalan harga sempena Tahun Baharu Cina akan dilaksana
- Suara Keadilan
- 42 minutes ago
- 1 min read

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan skim itu telah dimaklumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada Jumaat.
Menurutnya, sebanyak 16 jenis barangan akan disenaraikan di bawah skim berkenaan, dengan perincian lanjut mengenai inisiatif itu akan diumumkan oleh KPDN.
"SHMMP Tahun Baharu Cina akan dilaksanakan selama sembilan hari, bermula 13 hingga 21 Februari ini.
"Langkah kawalan ini bertujuan memastikan kestabilan harga serta melindungi pengguna daripada kenaikan harga yang tidak munasabah, khususnya sepanjang musim perayaan," katanya dalam sidang media di Kementerian Komunikasi, semalam.
Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi juga memaklumkan kerajaan turut bersetuju memberi diskaun tol bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman.
Jelasnya, butiran penuh termasuk kelas kenderaan dan jumlah diskaun diberikan akan dimaklumkan Kementerian Kerja Raya.





