Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 bakal berkuat kuasa pada Sabtu 15 April ini hingga 30 April.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan.
Menurut beliau 30 jenis barangan akan berada di bawah skim berkenaan selain turut meliputi enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur di bawah Penentuan Harga Maksimum yang telah berkuat kuasa sejak 5 Februari lalu.
"Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
"Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
"SHMMP Hari Raya Puasa 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat," jelas Salahuddin.
Mengulas lanjut pelaksanaan SHMMP, beliau turut berkata KPDN akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memastikan harga barangan terkawal serta bekalan mencukupi.
Sepanjang tempoh kempen itu juga, mana-mana pihak yang didapati melanggar arahan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan sedia ada termasuk tindakan bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan terkawal.
"Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan Syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
"Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM 10,000.00," katanya lagi.
Sehubungan itu tambah Salahuddin, pengguna boleh melakukan semakan harga melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri 2 dan Kos Sara Hidup di https://www.kpdn.gov.my
Comments