Skim Harga Maksimum Musim Perayaan selama 15 hari, libat 27 barangan
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) selama 15 hari bermula 14 Mac hingga 28 Mac ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim berkenaan bertujuan memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang tempoh perayaan.
Beliau berkata, perlaksanaan skim berkenaan menyaksikan pertambahan kepada 27 jenis barangan berbanding 26 barangan pada tahun lalu.
"Untuk SHMMP Aidilfitri tahun ini, pelaksanaannya selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum 1 Syawal, pada 1 Syawal dan tujuh hari selepas 1 Syawal," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran SHMMP Hari Raya Aidilfitri 2026, di ibu negara hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau dikenali sebagai Altimet.
Mengulas lanjut, Armizan turut memberikan perbandingan dengan SHMMP Aidilfitri tahun lalu.
Katanya, dari segi tempoh ianya sama iaitu pelaksanaan selama 15 hari, namun jenis barangan yang terlibat pada tahun lepas adalah sebanyak 26 barangan.
"Tahun ini kita tambah jadi 27 jenis barangan. Dari segi perbandingan harga pula, alhamdulillah kita melihat mungkin salah satunya dengan pembekal yang mencukupi, begitu juga dengan pengukuhan nilai ringgit yang sebelum ini.
"Maka dari segi perbandingan harga untuk Semenanjung Malaysia ada 24 jenis barangan, total seluruh negara 27 barangan," katanya lagi.
Dari segi pecahannya pula, Armizan berkata harga maksimum yang berjaya dikekalkan adalah sebanyak sembilan jenis barangan.
Manakala harga yang turun pula katanya, melibatkan 13 jenis barangan, naik hanya satu (barangan) dan satu lagi merupakan barang baru.
"Bagi Sarawak pula, yang kekal lapan jenis barangan, yang turun 10 jenis, naik tiga jenis dan barang baru ada dua.
"Bagi Sabah, harga kekal ialah sembilan barangan, turun 12 (barangan), tiada kenaikan dan barang baru ada dua.
"Untuk Wilayah Persekutuan Labuan, harga kekal lapan (barangan), harga turun 11, harga naik satu dan barang baru ada dua," ujarnya lagi.




Comments