top of page

Rumah ibadat tidak sah: Jangan salahkan PM, isu berlarutan sejak dahulu

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Isu rumah ibadah tidak sah bukanlah perkara baharu yang muncul ketika pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya telah lama wujud di pelbagai negeri di seluruh negara.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar) menegaskan tindakan pihak tertentu cuba menggambarkan semua rumah ibadah tidak sah dibina selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri adalah tidak tepat dan mengelirukan.


Malah kata beliau pembinaan rumah ibadah sebenarnya berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah negeri masing-masing, bukannya ditentukan secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan.


"Rumah ibadah tidak sah bukan hanya wujud di negeri yang ditadbir kerajaan Pakatan Harapan (PH) malah turut terdapat di negeri lain termasuk yang diperintah Perikatan Nasional (PN) seperti Kedah," katanya.


Beliau berkata tumpuan yang hanya diberikan kepada negeri tertentu akan menimbulkan persepsi bahawa isu tersebut sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu.


"Apabila tumpuan hanya diberikan kepada negeri yang ditadbir PH, orang ramai akan melihat seolah-olah isu ini sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu untuk menyerang kerajaan," katanya.


Faezuddin menegaskan masalah berkenaan perlu diselesaikan segera, namun tindakan mesti dilakukan mengikut lunas undang-undang serta diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan tegas.


Dalam masa sama, beliau berkata orang ramai bebas mengkritik kelemahan mana-mana pihak berkuasa tempatan atau agensi yang didakwa lambat mengambil tindakan.


Namun katanya, perbahasan mengenai isu berkenaan tidak seharusnya melampaui batas sehingga membawa kepada penghinaan terhadap agama dan kaum lain.


"Kalau kita nak kritik PBT atau pihak berkuasa yang lembab dan tidak tegas, silakan. Tetapi jangan sampai ada pihak yang mengaku sebagai pejuang Islam sanggup mencemuh dan menghina agama serta bangsa lain.


"Adakah Islam mengajar kita memaki hamun dan menghina agama lain? Tepuk dada tanya iman," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page