top of page

Skim diesel bersubsidi bagi pengusaha di Sarawak perlu dikaji semula

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read

Kerajaan Persekutuan digesa menambah baik Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan pengusaha sektor pengangkutan, pertanian dan industri berkaitan di Sabah serta Sarawak tidak terus terbeban dengan kos operasi yang tinggi.


Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, masih terdapat pengusaha yang menjalankan kegiatan ekonomi secara sah tetapi kenderaan atau jentera diesel mereka tidak diliputi skim subsidi sedia ada.


Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan ketika pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan di Sarawak, baru baru ini.


"Saya turut mengambil kesempatan mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan," katanya dalam muat naik di madeia sosial berkenaan mesyuarat Ketua Ketua Cabang KEADILAN Sarawak bersama PM.


Menurut Bruce Lee, cadangan itu bertujuan menggesa kerajaan meneliti semula dasar sedia ada supaya pelaksanaan subsidi diesel lebih menyeluruh, adil dan bersesuaian dengan keperluan sebenar rakyat serta industri di kedua-dua negeri berkenaan.


Antara kategori yang memerlukan penelitian lanjut, kata beliau, ialah lori rigid dumper atau lori tipper, lori pengangkut dan pembancuh simen, lori jenis RO-RO, kenderaan diesel pelbagai guna untuk operasi perniagaan, kenderaan pikap persendirian yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan penumpang di kawasan pedalaman serta jentera berat sektor pertanian.


"Kenderaan dan jentera ini memainkan peranan penting dalam aktiviti pengangkutan, pengeluaran pertanian serta penyediaan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.


"Kos diesel yang ditanggung turut memberikan kesan langsung terhadap kos operasi, sumber pendapatan pengusaha dan kegiatan ekonomi setempat," katanya.

Bruce (kiri) berfoto bersama PM
Bruce (kiri) berfoto bersama PM

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan MADANI meneliti secara serius keluhan golongan berkenaan, mengenal pasti kelemahan pelaksanaan skim sedia ada dan mengkaji mekanisme penambahbaikan yang lebih sesuai dengan keadaan geografi, struktur ekonomi serta keperluan operasi sebenar di Sabah dan Sarawak.


Bruce turut mencadangkan supaya agensi kerajaan berkaitan mengadakan sesi libat urus dan dialog secara berkala bersama pihak industri serta pemegang taruh bagi memahami secara langsung cabaran operasi yang dihadapi.

"Matlamatnya adalah untuk memastikan pengusaha yang menjalankan kegiatan secara sah mendapat pertimbangan dan sokongan dasar yang lebih munasabah, tanpa menjejaskan matlamat kerajaan untuk memastikan subsidi disalurkan secara bersasar," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pertemuan bersama Datuk Seri Anwar itu turut membincangkan hala tuju KEADILAN Sarawak, persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 serta perkembangan landskap politik negara.


Menurutnya, setiap Ketua Cabang yang hadir turut menyampaikan tahap persiapan pilihanraya di kawasan masing-masing, selain membawa suara dan pandangan akar umbi parti serta rakyat.


Ketua Ketua Cabang berpandangan KEADILAN Sarawak perlu mengambil bahagian secara aktif dalam PRN akan datang bagi memperjuangkan kebajikan rakyat, memacu pembangunan yang adil dan seimbang serta memastikan kepentingan rakyat Sarawak terus diberi perhatian.


Pada masa sama, katanya, peranan politik dan keperluan pembangunan parti di Sarawak perlu diseimbangkan dengan komitmen mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.


Bruce berharap hasil pertemuan itu dapat menjadi input berguna kepada hala tuju KEADILAN Sarawak serta usaha kerajaan memperkukuh dasar yang lebih adil, menyeluruh dan berpaksikan keperluan rakyat.


Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh; Naib Presiden KEADILAN Malaysia, Roland Engan; Senator Abun Sui Anyit serta Ketua-Ketua Cabang KEADILAN dari seluruh Sarawak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page