MA63 tidak wajar jadi modal politik, 12 daripada 16 perkara telah diselesaikan


Sebanyak 12 daripada 16 perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diselesaikan setakat ini berjaya dimuktamadkan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI sekali gus membuktikan kemajuan ketara dalam usaha menunaikan hak Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata pencapaian itu berdasarkan rekod pemantauan rasmi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang menunjukkan kemajuan rundingan MA63 merentasi beberapa pentadbiran sejak 2016.
"Daripada 29 perkara yang dipantau sehingga Oktober 2026, sebanyak 16 perkara telah diselesaikan sepenuhnya, tiga diselesaikan secara interim atau sebahagian manakala 10 lagi masih dalam proses rundingan.
"Ini bermakna 75 peratus daripada 16 penyelesaian yang direkodkan dicapai di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Menurut Mustapha, antara pencapaian penting termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, pelantikan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta pengambilalihan MASWings yang kini dikenali sebagai AirBorneo.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pengiktirafan terhadap pencapaian kerajaan semasa tidak bermakna usaha pentadbiran terdahulu diketepikan sebaliknya rundingan sedia ada diteruskan bagi memastikan kesinambungan penyelesaian tuntutan MA63.
"Saya tidak menafikan usaha kerajaan terdahulu yang memulakan rundingan. Malah Kerajaan MADANI sendiri meneruskan tuntutan lain daripada pentadbiran terdahulu bagi memastikan ada kesinambungan dalam rundingan," katanya.
Tuntutan 40 peratus hasil
Mustapha berkata kemajuan berkenaan wajar dinilai berdasarkan rekod penyelesaian dan pelaksanaan sebenar, bukannya digunakan sebagai modal politik untuk menggambarkan kerajaan gagal memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat tuntutan besar yang belum dimuktamadkan, khususnya hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang berkaitan dengan negeri itu seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Antara perkara yang paling dekat di hati dan menjadi harapan besar rakyat Sabah ialah penyelesaian tuntutan 40 peratus hasil negeri.
"Ini bukan sekadar soal angka atau jumlah wang yang diterima, tetapi menyentuh hak Sabah yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak pembentukan Malaysia," katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI memahami rakyat Sabah mahukan penyelesaian menyeluruh terhadap tuntutan berkenaan dan bukan sekadar pengiktirafan terhadap prinsip hak tersebut.
Sehubungan itu, kata beliau usaha meningkatkan keupayaan kewangan Sabah diteruskan sementara rundingan mengenai mekanisme, jumlah sebenar dan garis masa pembayaran hak 40 peratus itu dimuktamadkan.
Pemberian khas Sabah meningkat
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha berkata, pemberian khas interim kepada Sabah meningkat kepada RM1.5 bilion pada 2026 berbanding RM125.6 juta pada 2022 iaitu peningkatan hampir 12 kali ganda.
Beliau berkata kadar pemberian khas itu meningkat secara berperingkat daripada RM26.7 juta pada 2021 kepada RM300 juta pada 2023, RM306 juta pada 2024 dan RM600 juta pada 2025, sebelum mencecah RM1.5 bilion pada 2026.
"Pemberian khas ini disalurkan terus ke kantung Kerajaan Sabah untuk dimanfaatkan oleh rakyat. Kita harus jelas bahawa ini merupakan hak kewangan Sabah, bukannya sedekah politik daripada mana-mana pihak," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan peningkatan pemberian khas interim itu tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
"Saya ingin menegaskan pemberian khas interim RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus hasil Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Menurut beliau rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah masih diteruskan melalui penglibatan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Menteri Kewangan Sabah serta pasukan teknikal kedua-dua pihak.
Beliau berkata perkara yang perlu dimuktamadkan merangkumi mekanisme pelaksanaan, jumlah sebenar yang perlu dibayar dan garis masa pembayaran supaya penyelesaian itu dapat dilaksanakan secara teratur dan berterusan.
Mustapha turut menjelaskan komitmen kewangan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak terus meningkat dengan peruntukan kepada kedua-dua negeri itu masing-masing mencecah RM17.6 bilion dan RM15.1 bilion pada 2026.
Bagi 2027, peruntukan kepada Sabah meningkat kepada RM18.7 bilion manakala Sarawak menerima RM16.2 bilion.
Menurut beliau, angka itu menunjukkan peningkatan peruntukan antara 2022 hingga 2027 sebanyak 43.8 peratus bagi Sabah bersamaan RM5.7 bilion manakala Sarawak mencatatkan peningkatan 58.8 peratus atau RM6 bilion.
Beliau menjelaskan angka bagi 2022 hingga 2025 merupakan perbelanjaan sebenar manakala angka 2026 dan 2027 ialah peruntukan yang diumumkan.
Pembangunan lebih pantas
Bagaimanapun, Mustapha mengakui peningkatan peruntukan kewangan perlu disusuli pelaksanaan pembangunan lebih pantas dan berkesan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Beliau berkata masalah jalan raya, bekalan air, elektrik dan kelewatan projek infrastruktur, termasuk Lebuhraya Pan Borneo masih menjadi antara kebimbangan utama penduduk di Sabah dan Sarawak.
"Peningkatan peruntukan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan. Kita tidak boleh berpuas hati dengan pengumuman berbilion ringgit jika hasilnya belum benar-benar dirasai rakyat," katanya.
Justeru itu, beliau menegaskan kerajaan perlu terus berusaha menyelesaikan baki tuntutan MA63 termasuk hak 40 peratus hasil Sabah di samping memastikan kelemahan dalam pelaksanaan pembangunan ditangani.
"Kita boleh terus menuntut hak 40 peratus, kita boleh mendesak penyelesaian baki perkara MA63. Kita juga boleh menegur kelemahan pelaksanaan pembangunan," katanya.
Namun beliau berkata kemajuan yang telah direkodkan dalam pelaksanaan MA63 juga perlu diakui berdasarkan fakta dan pencapaian yang boleh diukur.
"Ini merupakan rekod kemajuan yang sangat ketara dan boleh diukur. Justeru itu, MA63 tidak sepatutnya dijadikan modal politik untuk menggambarkan Kerajaan MADANI gagal melaksanakan tuntutan MA63 sedangkan rekod penyelesaian terbaik setakat ini hanya dapat dicapai di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.




Comments