top of page

Pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya: JKPK perhalusi perkara dibangkit MRR

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
3 hours ago
1 min read
Menteri Undang Undang, DS Azalina mempengerusikan mesyuarat JKPK pindaan Perlembagaan
Menteri Undang Undang, DS Azalina mempengerusikan mesyuarat JKPK pindaan Perlembagaan

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) memperhalusi perkara-perkara yang dibangkitkan Majlis Raja-Raja (MRR) berhubung cadangan pindaan perlembagaan berkaitan pengasingan peranan berkenaan.


Jawatankuasa itu memaklumkan, dalam mesyuaratnya semalam, mereka telah mengambil maklum mengenai perbincangan berhubung cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang telah disembah maklum ketika sesi pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 pada 13 Oktober 2026 yang turut dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-273 pada 14 dan 15 Oktober 2026.


"JKPK telah meneliti perkara-perkara yang dibangkitkan oleh MRR dan berpandangan bahawa ia perlu diperhalusi sewajarnya dengan mengambil kira pandangan serta pertimbangan yang dikemukakan oleh MRR, selaras dengan prinsip Raja Berperlembagaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.


"Sehubungan itu, JKPK telah meminta AGC untuk memperhalusi perkara-perkara yang dibangkitkan tersebut untuk dibentangkan semula kepada JKPK dalam tempoh dua minggu bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.


"JKPK kekal komited untuk memastikan reformasi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara teliti, tertib dan berhemah, dengan matlamat memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan, meningkatkan akauntabiliti serta memelihara keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara," kata jawatankuasa itu menerusi satu kenyataan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page