"Kitab Allah bersendikan PM": Jangan jadikan al Quran alat politik - Dr Mujahid


Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegur Presiden Pas, Hj Hadi Awang supaya tidak menjadikan al-Quran sebagai alat politik untuk menyerang Perdana Menteri dan Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, kenyataan Hj Hadi bahawa “Kitab Allah bersendikan Perdana Menteri, PM bersendikan PH dan PH bersendikan DAP” bukan hujah Perlembagaan, sebaliknya sindiran politik yang mempermainkan ungkapan luhur adat dan agama.
"Al-Quran tidak bersendikan mana-mana Perdana Menteri atau parti. Sebaliknya, pemimpin wajib tunduk kepada tuntutan al-Quran berlaku adil, amanah dan menjauhi fitnah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mujahid turut mengingatkan Pas supaya tidak terus menjadikan DAP sebagai musuh politik yang digunakan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu.
"Jangan jadikan DAP sebagai ‘hantu’ untuk menakutkan orang Melayu. Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat," katanya mengungkit sejarah tahaluf siyasi Pas dan DAP sejak 2008 - 2013 dalam Pakatan Rakyat.
Menurut beliau, perbezaan politik seharusnya ditangani melalui hujah berasaskan fakta dan prinsip keadilan, bukannya dengan memainkan sentimen kaum atau memanipulasi agama untuk meraih sokongan.
Beliau menegaskan bahawa politik perlu berlandaskan nilai amanah, keadilan dan kebenaran, selaras dengan tuntutan Islam terhadap kepimpinan.
"Politik mestilah bersendikan fakta, amanah dan keadilan, bukan sentimen kaum serta manipulasi agama," katanya.
Semalam, Hj Hadi mendakwa berlaku pencabulan terhadap Perlembagaan yang menyebabkan kecelaruan, sambil memetik krisis adat dan diraja yang berlaku di Negeri Sembilan serta pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Marang itu berkata, Negeri Sembilan mempunyai perlembagaannya sendiri namun mendakwa ada pihak campur tangan sehingga keadaan bercelaru.
Jelas Hadi, negeri itu mempunyai adat yang bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitab Allah.
"Habis di situ kitab Allah paling tinggi, ini ada lagi.
"Kitab Allah bersendikan Perdana Menteri, Perdana Menteri bersendikan PH, PH bersendikan DAP yang mendominasi dalam kerajaan. Ini masalahnya.
"Menunjukkan bahawa Perlembagaan kita telah dicabul melalui pintu belakang, cabul pintu belakang ini orang panggil apa tak tahulah," katanya dalam perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.




Comments