top of page

Reformasi kesihatan tingkat kebajikan doktor, sistem perkhidmatan awam

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
52 minutes ago
2 min read
Ahli Jawatankuasa BiPPA KEADILAN, Ustaz Shamsul Firdaus Muhammad Suffri
Ahli Jawatankuasa BiPPA KEADILAN, Ustaz Shamsul Firdaus Muhammad Suffri

Reformasi perkhidmatan kesihatan termasuk penambahbaikan kebajikan doktor yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 melalui penyerapan pegawai perubatan kontrak ke jawatan tetap antara usaha mulia yang diketengahkan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ahli Jawatankuasa Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN Pusat, Ustaz Shamsul Firdaus Muhammad Suffri berkata, langkah itu penting bagi memperbaiki kebajikan petugas kesihatan yang berdepan tuntutan tugas berat, selain memastikan rakyat terus mendapat perkhidmatan kesihatan yang diperlukan.


"Doktor-doktor yang sebelum ini berstatus kontrak telah diberi laluan untuk diserap ke jawatan tetap. Doktor yang bekerja bertungkus-lumus selepas bertahun-tahun belajar perlu mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah dalam program “Kami Rakyat Menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim” anjuran Persatuan Kasih Morni Malaysia di Masjid Tanah, Melaka, baru baru ini.


Menurut Shamsul Firdaus, reformasi yang dilaksanakan dalam tempoh hampir empat tahun pentadbiran Anwar bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan usaha memperbaiki kelemahan sedia ada dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, pentadbiran dan pembanterasan rasuah.


Katanya, perubahan struktur yang telah lama berakar umbi memerlukan masa, ketegasan dan komitmen berterusan, terutama apabila usaha membanteras rasuah serta memperkukuh tadbir urus berdepan pelbagai cabaran.


"Hasrat untuk menghapuskan rasuah terus kekal, tetapi apabila sesuatu perkara itu sudah berakar umbi, usaha untuk mengatasinya memerlukan langkah-langkah yang berterusan," katanya.


Bantu golongan pendapatan rendah


Beliau berkata reformasi kerajaan turut merangkumi usaha memperluas manfaat pendidikan, termasuk membantu golongan berpendapatan rendah, serta memperbaiki kemudahan sekolah supaya rakyat dapat menikmati pembangunan negara dalam pelbagai bentuk.


Dalam pada itu, Shamsul Firdaus mengingatkan masyarakat supaya menghentikan politik berasaskan perkauman yang boleh menimbulkan salah faham mengenai dasar dan agihan peruntukan kerajaan kepada rakyat.


Katanya, bantuan kepada sekolah, institusi pendidikan dan masyarakat perlu dilihat berdasarkan keperluan serta manfaatnya kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.


"Rakyat bukan Islam juga rakyat Malaysia. Mengapa kita tidak boleh memberikan agihan kepada mereka? Kita perlu melihat manfaatnya kepada rakyat, bukannya memainkan sentimen kaum," katanya.


Beliau berkata masyarakat perlu menilai dasar kerajaan berdasarkan pelaksanaan dan manfaatnya, di samping memastikan sebarang kelemahan terus ditegur serta diperbaiki demi kepentingan rakyat.


Menurutnya, reformasi yang berkesan memerlukan sokongan masyarakat terhadap usaha memperkukuh integriti, meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan memastikan pembangunan negara dinikmati secara menyeluruh.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page