Skandal perolehan tentera: Perkukuh reformasi perolehan, tingkat integriti
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan salah laku perolehan melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar dijadikan pemangkin kepada pembaharuan menyeluruh sistem perolehan negara khususnya dalam sektor pertahanan, kata Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).
C4 Center dalam kenyataan berkata, langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menyelia dan menentukan perbelanjaan pertahanan atau penubuhan Tribunal Perolehan Pertahanan untuk menilai kesahihan kontrak serta memastikan prosedur perolehan dipatuhi.
"Skandal yang sedang berlaku ketika ini merupakan bukti lanjut bahawa perolehan pertahanan dan sistem perolehan secara keseluruhannya mempunyai kelemahan sistemik.
"...[ia] amat memerlukan reformasi yang lebih mendalam, ia tidak boleh disederhanakan sebagai perbuatan beberapa individu jenayah semata-mata atau dianggap sebagai kes terpencil," kata badan pemantau itu.
Terdahulu laporan media tempatan menyebut SPRM telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dengan memberi tumpuan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui tender terbuka serta perolehan di bawah pusat tanggungjawab Tentera Darat.
Selain itu, serbuan telah dilakukan ke atas kediaman rasmi seorang pegawai kanan tentera yang membawa kepada rampasan beberapa barangan mewah bernilai tinggi selain menyita enam akaun bank milik seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.
SPRM berjaya mendapatkan perintah reman terhadap bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Hafizuddeain Jantan dan dua isterinya setelah beliau sebelum ini diarahkan bercuti bagi memudahkan siasatan dijalankan.
Selain itu, 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel turut direman atas dakwaan membayar rasuah kepada pegawai kanan tentera sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak perolehan serta menggagalkan cubaan memindahkan wang tunai berjumlah RM2.4 juta milik salah seorang suspek antara dua buah kediaman.
C4 Center berkata perolehan pertahanan telah lama menjadi subjek kontroversi di negara ini dengan banyak skandal perolehan bernilai tinggi berkaitan sektor pertahanan seperti perolehan kapal selam Scorpene dan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang mengakibatkan kerugian atau pembaziran berbilion ringgit.
"Keadaan ini berpunca daripada kedudukan unik perolehan pertahanan yang merupakan bidang sangat khusus, melibatkan bilangan pemain industri yang terhad serta memerlukan pengetahuan dan kepakaran khusus untuk penyertaan industri.
"Saiz industri yang kecil berbanding nilai kontrak dan hasil pendapatannya juga mewujudkan peluang tambahan untuk pembentukan rangkaian kronisme dan kartel," ujarnya.
Dalam pada itu, C4 Center mempersoalkan keberkesanan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) yang kini dalam proses pewartaan setelah ia diluluskan pada Ogos tahun lalu.
Sebelum ini akta tersebut mendapat kritikan antaranya mengenai peruntukan yang membenarkan penggunaan kuasa budi bicara yang luas dan tidak boleh disemak kepada Menteri Kewangan.
"GPA juga tidak mempunyai peruntukan yang mengawal selia perolehan pertahanan. Justeru itu, timbul persoalan bagaimana perolehan pertahanan akan dikawal selia kerana dalam bentuknya sekarang, GPA berkemungkinan besar tidak berkesan untuk mencegah skandal yang sedang berlaku dan tidak akan menghalang kejadian serupa daripada berulang pada masa hadapan," katanya.
Walaupun tindakan tegas sedang diambil oleh SPRM, peruntukan undang-undang yang hanya menjenayahkan perbuatan rasuah tidak mencukupi sebagai langkah pencegahan dan bukan pengganti kepada tadbir urus yang baik dalam perolehan pertahanan, kata C4 Centre.
Sehubungan itu, NGO tersebut menggesa SPRM agar meneruskan siasatan secara telus dan tidak berat sebelah serta memastikan hasil dapatan didedahkan secara meluas melalui laporan dan kenyataan kepada media.





