Pas makin dominasi PN, Bersatu mula terpinggir - Lokman Adam
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Menurut beliau, perkembangan semasa dalam struktur kepimpinan PN menunjukkan Pas menguasai jawatan penting manakala Bersatu pula hampir hilang pengaruh.
"Drama politik dalam PN kini memasuki fasa klimaks apabila Pas dilihat semakin mendominasi sehingga Bersatu semakin terhimpit," katanya dalam satu kenyataan.
Lokman berkata perubahan jawatan dalam kepimpinan gabungan pembangkang itu turut memperlihatkan pengaruh Pas meluas, termasuk pelantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN, manakala Datuk Seri Azmin Ali yang sebelum ini memegang jawatan tersebut kini hanya berperanan sebagai timbalan.
Lokman turut merujuk kepada perubahan dalam jawatan Bendahari yang menurutnya menyaksikan peranan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor makin menonjol.
"Jawatan penting seperti Pengerusi PN, Ketua Whip Parlimen dan Ketua Pembangkang kini dikuasai Pas, manakala Bersatu pula semakin tenggelam sehingga rakyat mungkin lupa kewujudannya dalam PN," sinisnya.
Lokman turut mendakwa Pas berjaya memanfaatkan konflik dalaman Bersatu yang melibatkan Muhyiddin Yassin dan bekas timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin sehingga melemahkan kedudukan parti itu dalam PN.
Tambah beliau, perkembangan tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Pas untuk menguasai gabungan berkenaan.
"Perkembangan ini dilihat sebagai pelan strategik jangka panjang Pas untuk menguasai PN. Bersatu semakin goyah manakala Pas makin dominan, sehingga PN disindir (oleh netizen) sebagai “PASiatan Nasional”," katanya lagi.




Comments