
Penafian terbaharu di Facebook oleh Datuk Dr Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai pembabitan beliau dalam syarikat yang dikawal oleh Zainab Mohd Salleh dan didakwa dimiliki isteri beliau, dalam skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia sangatlah tidak memadai.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, Dr Latiff seharusnya dengan tegas membidas Laporan Forensik Kapal LCS yang menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau juga laporan menamakan Zainab sebagai individu mengawal syarikat-syarikat palsu Alizes Marine yang mendapat kontrak membekalkan alat gantian sebanyak RM210 juta, atau laporan sama menamakan satu lagi syarikat, Mega P Asia Sdn Bhd yang didakwa ditubuhkan oleh Dr Latiff sebagai syarikat dikawal oleh Zainab dan mendapat kontrak-kontrak pertahanan laut seperti disebut dalam laporan.
"Apabila Dr Latiff hanya menafikan di Facebook, itu bermakna beliau menuduh juruaudit yang dilantik Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC), iaitu Alliance IFA (M) Sdn Bhd menipu di dalam laporan juruaudit yang menamakan Zainab Mohd Salleh sebagai isteri beliau dan menunjukkan keterlibatan Dr Latiff dalam kontrak-kontrak projek LCS.
"Penafian Facebook Dr Latiff juga samalah seperti menuduh rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menipu, sedangkan rekod itu menunjukkan Dr Latiff mempunyai hubungan dengan Zainab melalui pemilikan bersama Mega P Asia Sdn. Bhd," kata Rafizi dalam satu kenyataan
Menurut Rafizi lagi, penafian mudah tanpa menunjukkan sebarang fakta atau dokumen adalah taktik biasa yang menjadi amalan pimpinan Umno dan bekas Umno
Tambahnya, semasa skandal SRC dan 1MDB mula-mula didedahkan dahulu pun, Najib Razak menafikan mentah-mentah wang telah masuk ke akaun peribadinya. Apabila dibuktikan, barulah beliau menyebut wang itu daripada derma raja Arab.
Manakala setelah disiasat, didapati wang itu datang daripada tabung pencen rakyat KWAP.
"Ketika ini rakyat tidak lagi boleh mempercayai penafian kosong oleh menteri-menteri Umno dan Bersatu kerana rekod yang telah ada.
"Jika Dr Latiff tidak ada kaitan dengan Zainab dan dia tidak terlibat dengan kontrak-kontrak projek LCS atau pertahanan laut negara, beliau perlu mengambil tindakan saman serta-merta ke atas BHIC iaitu tuan punya Laporan Forensik Kapal LCS, Alliance IFA (M) Sdn Bhd, juru audit yang dilantik BHIC untuk menyiasat projek kapal LCS dan saya yang mendedahkan perkara ini.
"Jika ini (saman) tidak diambil pada kadar segera, maka saya yakin Dr Latiff akan mengheret partinya Bersatu ke kancah kekalahan dalam Pilihan Raya Umum 15 kerana rakyat akan menghukum parti-parti yang melindungi watak-watak yang terlibat di dalam skandal LCS," kata Rafizi lagi.