
Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia semakin menarik apabila beberapa bukti baharu daripada laporan audit forensik didedahkan.
Menurut Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, hal yang menarik bukan sahaja bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Latiff Ahmad yang tidak menafikan secara berfakta pemilik syarikat pembekal peralatan kapal merupakan isteri beliau namun syarikat palsu yang dicipta untuk membekalkan bahan membina kapal itu juga menjadi fakta yang mengejutkan.
"Sejumlah besar kontrak Alizes Marine Limited (syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyelewengkan dana) dengan kontrak kapal LCS adalah bagi membekalkan alat-alat gantian kapal.
"Syarikat ini dilantik dengan memberi gambaran ia berkaitan dengan sebuah syarikat Perancis (Alizes Marine France) yang mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan dari Kerajaan Perancis. Setelah memperolehi kontrak membekalkan alat-alat ganti dari projek LCS, invois-invois dengan alamat palsu dihantar dan arahan pembayaran menyelewengkan dana ke syarikat-syarikat berlainan yang didaftarkan di Malta dan Labuan. Akaun bank yang digunakan juga dari Singapura, bukannya di Perancis.
"Laporan Forensik Projek LCS telah mendedahkan syarikat palsu ini tidak pun mempunyai lesen pengeksport alat-alat gantian pertahanan seperti yang didakwa.
"Lebih teruk lagi, syarikat palsu ini menghantar invois barang-barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian pertahanan. Sesetengah barang-barang pula adalah barang-barang biasa yang boleh dibeli di pasar raya Mydin atau kedai serbaneka 7-Eleven," kata Rafizi dalam pendedahannya hari ini.
Beliau turut memetik laporan siasatan Perenggan 2.6.20 Laporan Forensik Projek LCS:
“Global purchase orders (PO) issued to Alizes Marine contained certain items which did not belong to Depot level spare parts (repairs and maintenance) such as mineral water, cotton bud packs, cleaning cloth, fans etc. This signified the level of discrepancy and deception in the process of procurement.”
“Purchase Order (PO) yang dikeluarkan kepada Alizes Marine (untuk menempah alat-alat gantian kapal) mengandungi sesetengah barang yang tidak memenuhi syarat alat gantian Depot (untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal) seperti air mineral, putik kapas telinga, kain-kain kecil untuk mencuci, kipas dan sebagainya. Ini menunjukkan tahap penyelewengan dan penipuan yang berlaku dalam proses perolehan.”
Kata Rafizi lagi, kontrak membekalkan 'alat-alat gantian kapal' yang diberikan kepada Alizes Marine melibatkan pembayaran sekitar RM210 juta dari tahun 2011 ke 2015
Oleh itu, katanya, ada beberapa soalan penting yang perlu dijawab berhubung stok alat-alat gantian kerana Laporan PAC mendedahkan projek pembinaan LCS telah membeli sehingga RM1.7 bilion alat-alat gantian, sedangkan kapal belum siap.
"Persoalannya berapa banyak dari RM1.7 bilion yang dibeli itu sebenarnya alat-alat gantian yang diperlukan untuk kapal bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan membaiki kapal?
"Berapa banyak pula dari stok alat gantian sebenarnya untuk barang-barang kegunaan harian yang boleh dibeli di pasar raya biasa?
"Apabila Umno - BN mendakwa projek telah mencapai 50% kemajuan sehingga 2018, berapa banyak dari peratusan kemajuan itu bersabit dengan pembelian barang-barang yang tidak ada kena-mengena dengan alat gantian kapal seperti ini?
"Kita tahu bahawa kemajuan projek itu mengambil kira semua aktiviti termasuk tempahan alat-alat gantian kapal.
"Dengan tiadanya penafian dari Dr Latiff atau fakta-fakta yang menolak pendedahan setakat ini, sudah sampai masanya tindakan politik diambil terhadap Dr Latiff," kata Rafizi lagi.
Justeru, mantan Ahli Parlimen Pandan itu mencadangkan agar Dr Latiff diambil tindakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan cara menggugurkan beliau daripada Jemaah Menteri
Manakala Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin pula dicadangkan menggantikan Dr Latiff dengan calon lain sebagai menteri kuota Bersatu dalam kabinet Ismail Sabri.
Sinis Rafizi, hanya dengan cara itu Mahiaddin akan dilihat serius dalam gerakan melawan rasuah, bukannya mengambil kredit atas penghukuman ke atas Najib Razak dalam kes SRC baru-baru ini.