
Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meletup sejak seminggu lalu bukan sahaja satu merupakan bencana kewangan dengan RM6 bilion pembiayaan tetapi juga memberi malapetaka kepada keselamatan negara.
Ahli Parlimen Lumut Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, laporan Jawatankuasa Kira kira Wang Negara (PAC) sepatutnya telah menyedarkan kerajaan untuk untuk bertindak segera melakukan siastan rapi ke atas skandal berkenaan.
"Sebagai Ahli Parlimen Lumut, yang terletak di dalamnya pangkalan TLDM terbesar dan juga Limbungan Kapal Boustead Naval Shipyard-BNS saya telah mengambil bahagian yang aktif dalam prosiding PAC berkaitan skandal perolehan LCS ini kerana saya adalah salah seorang ahli PAC.
"Prosiding yang direkodkan dalam bentuk 'Hansard Parlimen', serta penemuan, rumusan dan syor-syor PAC kini tersebar secara meluas kepada umum selepas jawatankuasa itu membentangkan laporannya di Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Bagi saya penemuan PAC ini bukan sekadar satu bencana kewangan kerajaan, tetapi juga malapetaka keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli PAC itu lagi, pemilihan rekabentuk kapal oleh TLDM yang ditukar secara sepihak oleh Menteri Pertahanan Zahid Hamidi dan dipersetujui oleh Menteri Kewangan ketika itu, Najib Razak jelas merupakan 'permulaan' kepada peningkatan kos dan kesukaran menyiapkan kapal berkenaan kerana melibatkan syarikat pembuat kapal Perancis yang terlebih dahulu terlibat dalam skandal pembelian kapal selam Scorpene.
"Oleh itu, antara perkara yang saya dapati mengejutkan dalam laporan itu adalah fakta rekabentuk LCS yang dipilih telah diubah oleh Menteri Pertahanan ketika itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa persetujuan TLDM iaitu pengguna kapal itu sendiri. Perubahan rekabentuk ini juga telah dipersetujui oleh Menteri Kewangan
"Perubahan dilakukan tidak sampai dua bulan selepas Zahid bersetuju secara bertulis dengan cadangan TLDM menerima rekabentuk Sigma, sejenis kapal tempur yang telah teruji prestasinya dan memenuhi keperluan perkembangan TLDM.
"Zahid kemudian memilih rekabentuk Gowind yang dicadangkan oleh kontraktor projek iaitu BNS.
"Perbandingan dua rekabentuk ini jelas menunjukkan kelebihan Sigma, termasuk rekabentuk Sigma yang lebih rendah kosnya berbanding Gowind.
"Yang menarik juga dalam pengakuan Zahid, rekabentuk Gowind adalah dicadangkan sama oleh syarikat DCNS dari Perancis (sekarang dikenali sebagai French Naval Group) yang telah membekalkan kapal selam Scorpene kepada kerajaan Malaysia sebelum ini," katanya.
Tegas Setiausaha Agung AMANAH itu, Najib sebagai Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri pada 2010 tidak boleh menjawab sesuka hati di media sosial hari ini tetapi sebaik baiknya menjelaskan secara terperinci apakah punca beliau bersetuju untuk mengambil reka bentuk yang lebih mahal berbanding diminta oleh TLDM.
"Menteri Kewangan ketika itu wajar memberi penjelasan atas keputusannya menyetujui perubahan rekabentuk tersebut yang dikemukakan oleh sebuah syarikat terkait perolehan kapal selam Scorpene.
"Bagi saya, di sinilah kontrak bernilai lebih RM9 bilion ini mula terdedah kepada ketirisan.
"Siasatan yang rapi perlu dibuat oleh SPRM seperti yang disyorkan oleh PAC, bahkan saya sebagai Ahli Parlimen Lumut dan Setiausaha Agung Parti AMANAH menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyelongkar lebih mendalam skandal kapal TLDM ini," katanya lagi.