
Skandal pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengundang beberapa laporan polis berhubung kegagalan menyiapkan kapal berkenaan yang telah sedekad dibina.
Menurut Pengerusi Biro Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan, pihak polis perlu menyiasat daripada hierarki pemerintahan sehinggalah pembuat kapal untuk mengetahui punca LCS tersebut masih tidak selesai pembinaannya sedangkan pada 2017 lalu telah dibuat upacara pelancaran.
"Kami dari Biro Mobilisasi AMANAH, kita hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi membuat satu laporan polis isu kapal tempur LCS yang dikatakan pihak kerajaan menelankan RM6 bilion duit negara tetapi amat malang sehingga hari ini bayangan kapal tempur yang dikatakan oleh pihak kerajaan BN yang sudah diadakan majlis pelancarannya, sehingga hari ini tidak kelihatan satu pun yang telah berjaya disiapkan
"Sedang dalam masa yang sama, duit rakyat sudah digunakan. Sebab itu kita buat laporan polis kerana kita mahu semua agensi badan siasatan di negara ini berperanan untuk menyiasat, ke manakah perginya wang RM6 bilion digunakan? Sebab kita sebagai pembayar cukai kita nak tahu ke mana wang disalurkan," katanya semalam.
Sany juga mahu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diteruskan dengan segera dan pihak yang terlibat perlu didakwa di mahkamah, sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
"Dua hari lepas kita dengar kenyataan PM meminta SPRM menyiasat segera mereka yang terlibat dan dihadapkan ke muka pengadilan.
"InshaAllah atas nama Biro Mobilisasi AMANAH, Rabu ini kita akan menyerahkan memorandum kepada SPRM, kita desak SPRM segerakan siasatan untuk adili merek yang terlibat. Ini soal keselamatan yang kita tidak boleh kompromi," katanya lagi.