top of page

Ihya Ramadan KEADILAN Alor Gajah eratkan ukhuwah masyarakat

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Pemangku Pengerusi KEADILAN Melaka, Adam Adli (baju kelabu) hadir dan mengagihkan juadah berbuka
Pemangku Pengerusi KEADILAN Melaka, Adam Adli (baju kelabu) hadir dan mengagihkan juadah berbuka

Program Ihya Ramadan 1447H anjuran KEADILAN Cabang Alor Gajah yang berlangsung pada 28 Februari lalu di Kampung Paku, dalam kawasan DUN Rembia, Melaka berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh keberkatan dan kebersamaan.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Alor Gajah, Rubiah Tamby, program tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk setempat selain memperkukuh ukhuwah antara pimpinan parti dan masyarakat.


"Alhamdulillah, Program Ihya Ramadan 1447H anjuran KEADILAN Cabang Alor Gajah berlangsung dengan penuh keberkatan serta sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan media.


Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pemangku Pengerusi KEADILAN Melaka, Adam Adli Abdul Halim serta Timbalan Pengerusi KEADILAN Melaka yang juga Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah, Mohd Khuzaire Mohd Kamal.


Jelas Rubiah, pelbagai pengisian dilaksanakan sepanjang program termasuk aktiviti gotong-royong, penyediaan juadah berbuka puasa serta sesi ramah mesra bersama penduduk setempat.

Suasana meriah anggota KEADILAN Alor Gajah mengambil makanan untuk berbuka puasa
Suasana meriah anggota KEADILAN Alor Gajah mengambil makanan untuk berbuka puasa

Program turut disusuli dengan majlis berbuka puasa bersama, diikuti solat Maghrib berjemaah, solat Terawih serta solat hajat.


Selain itu, rakaman takbir raya bersama jentera KEADILAN Cabang Alor Gajah yang diketuai oleh Pengerusi Biro Hal Ehwal Agama, Hj Shariff, turut diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadan dalam kalangan hadirin.


Majlis bertambah meriah apabila Ketua Cabang KEADILAN Tangga Batu, Azlan bersama Naib Ketua Cabangnya turut hadir dalam majlis moreh, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara cabang.

Mohd Khuzaire (bersongkok) berbuka bersama anggota KEADILAN Cabang  Alor Gajah
Mohd Khuzaire (bersongkok) berbuka bersama anggota KEADILAN Cabang Alor Gajah

Sebagai simbolik penutup Program Ihya Ramadan 1447H, pertunjukan bunga api diadakan yang menandakan berakhirnya program tersebut dengan penuh kenangan dan keberkatan.


Rubiah berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jawatankuasa pelaksana, jentera parti serta sukarelawan yang menjayakan program tersebut.


"Semoga segala usaha dan pengorbanan kita diberkati serta menjadi amal kebajikan di bulan yang mulia ini, selain menjadi asbab kekuatan dan kesatuan dalam meneruskan agenda perjuangan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page