top of page

Skandal eFishery: Bukan sahaja KWAP, Temasek, SoftBank turut diperdaya

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jul 19
2 min read

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bukan satu-satunya pelabur yang menjadi mangsa penipuan dalam skandal syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, malah pelabur antarabangsa seperti Temasek dan SoftBank turut mengalami kerugian.


Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Cabang Lumut, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar , isu pelaburan KWAP tidak seharusnya dipolitikkan dengan meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada Kerajaan MADANI tanpa mengambil kira fakta bahawa kes tersebut melibatkan jenayah kewangan yang dirancang.


"Sekarang ini ada pihak pembangkang cuba memainkan cerita kononnya RM200 juta duit KWAP hilang sebab kerajaan gagal.


"Memang betul, KWAP perlu jawab bagaimana pelaburan itu dibuat. Kalau ada kelemahan atau kecuaian, siasat dan ambil tindakan. Tetapi jangan pula kita tutup fakta sebenar," katanya dalam hantaran di media sosial.

Mohd Ikhmal Mohd Iskandar
Mohd Ikhmal Mohd Iskandar

Menurut Ikhmal, eFishery bukan sekadar sebuah syarikat yang mengalami kerugian, sebaliknya pengurusannya didakwa memalsukan laporan kewangan serta mengelirukan pelabur mengenai prestasi sebenar syarikat.


Beliau berkata, kes itu telah dibuktikan di mahkamah Indonesia apabila pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di negara itu atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.


"Pengasas bersama dan bekas CEO eFishery, Gibran Huzaifah telah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah Indonesia. Beliau didapati bersalah dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan skandal kewangan syarikat tersebut," katanya.


Tambah Ikhmal, pelabur diberi gambaran bahawa eFishery merupakan syarikat yang kukuh dan menguntungkan sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.


Katanya KWAP bukan satu-satunya institusi yang menjadi mangsa penipuan itu.


"Pelabur besar dunia seperti Temasek dari Singapura dan SoftBank dari Jepun juga melabur dalam eFishery dan turut berdepan kerugian besar."


Beliau berkata, tindakan menyalahkan Kerajaan Malaysia semata-mata kerana KWAP mengalami kerugian adalah tidak wajar memandangkan institusi pelaburan bertaraf dunia turut diperdaya.


"Kalau ikut naratif pembangkang bahawa KWAP kena tipu dikatakan bukti Kerajaan Malaysia gagal, adakah Temasek yang turut kena tipu bermaksud Kerajaan Singapura juga gagal dari segi tatakelola? Sudah tentu tidak semudah itu," katanya.


Menurut Ikhmal, kejadian itu menunjukkan bahawa penipuan kewangan yang dirancang dengan teliti mampu memperdaya mana-mana institusi pelaburan, walaupun mempunyai sistem semakan yang kukuh.


Bagaimanapun, beliau menegaskan proses pelaburan KWAP tetap perlu disemak bagi memastikan sebarang kelemahan atau kecuaian diperbaiki.


"KWAP tetap perlu disiasat. Proses pelaburan perlu disemak. Kalau ada kelemahan, baiki. Kalau ada kecuaian, ambil tindakan.


"Tetapi jangan kerana mahu menyerang kerajaan, jenayah yang dilakukan oleh pihak pengurusan sebuah syarikat di Indonesia pula diletakkan atas kepala Kerajaan Malaysia," katanya.


Beliau berkata, pihak yang wajar dipertanggungjawabkan ialah individu yang memalsukan maklumat kewangan, melakukan pecah amanah serta memperdaya pelabur, dan individu terbabit telah pun dijatuhi hukuman mengikut undang-undang Indonesia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page