SIWANIS jadi platform strategik Selangor asah kepimpinan wanita
- Suara Keadilan
- Jun 16
- 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan barisan kepimpinan masa depan yang berpengetahuan, berwibawa dan bersedia memacu perubahan masa depan negara.
Terbaharu, seramai 74 wanita berusia antara 18 hingga 45 tahun dari seluruh negara telah terpilih menyertai Sidang Wanita Selangor (SIWANIS) 2025 anjuran Kerajaan Negeri.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan langsung kepada peserta tentang proses pentadbiran, penggubalan dasar serta aspek perundangan negeri.
Selain itu ia juga untuk memperkasa golongan wanita dengan melatih mereka agar bersedia menyumbang secara aktif dalam pembentukan dasar serta kepimpinan.
"Kita tidak mahu wanita sekadar mengisi kuota atau menjadi simbolik. Kita mahu mereka tampil sebagai pemimpin yang berilmu, kompeten dan mampu membela rakyat," katanya pada pelancaran SIWANIS 2025 di Hotel Crystal Crown, di Petaling Jaya pada Ahad.
Turut hadir pada acara itu ialah Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San dan Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Siti Faridah Abdul Samad
SIWANIS 2025 dilaksanakan melalui sokongan strategik Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor dan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bertindak selaku agensi pelaksana.
Pelaksanaannya juga melibatkan kerjasama institusi akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).
Program intensif tersebut merangkumi dua siri bengkel yang menyentuh pelbagai topik penting termasuk proses pembuatan dasar, protokol dan peraturan Dewan Negeri Selangor serta kefahaman terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.
Comments