Situasi meruncing, tangguh perjalanan ke Asia Barat - Wisma Putra
- Azuan Ab Rahman

- 11 hours ago
- 1 min read

Malaysia menggesa rakyatnya supaya kekal berwaspada dan menangguhkan perjalanan tidak penting ke kawasan konflik di Asia Barat susulan situasi keselamatan yang semakin meruncing.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan turut menyeru agar rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air supaya mendapatkan tiket penerbangan komersial segera selagi masih tersedia, berikutan risiko penutupan ruang udara yang tidak menentu.
"Kementerian fokus kekal terhadap keselamatan, perlindungan dan kebajikan rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan melalui kawasan terjejas.
"Pada masa ini, kementerian mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia berdaftar yang dihubungi kekal selamat, dan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkandas," tegasnya.
Wisma Putra menerusi kenyataan sama turut menegaskan bahawa Nasihat Perjalanan dikeluarkan pada 5 Mac, agar menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke negara terlibat, masih berkuat kuasa.
"Situasi keselamatan adalah sangat tidak menentu dan boleh meruncing pada bila-bila masa dengan amaran yang singkat atau tanpa sebarang amaran.
"Warganegara Malaysia yang memilih untuk terus berada di rantau berkenaan wajar patuhi sepenuhnya arahan keselamatan serta sekatan pergerakan yang dikeluarkan oleh kerajaan negara tuan rumah," tambah mereka.
Kementerian itu juga memaklumkan akan terus memantau situasi itu secara dekat dan akan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan.
Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Bahagian Konsular Kementerian Luar di talian +603-8887 4597 / +603-8887 4769 / +603-8887 4264 (waktu pejabat) atau melalui e-mel di bkrm@kln.gov.my.
Bagi kecemasan di luar waktu pejabat, mereka boleh menghubungi talian panas di +603-8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my.




Comments