top of page

Situasi Covid 19: KKM teruskan pemantauan, boleh perketat prosedur operasi standard

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 2, 2023
  • 2 min read


Situasi Covid 19 yang agak membimbangkan di negara China dan dasar negara itu kembali membuka sempadan membenarkan rakyatnya berkunjung keluar negara sedang dipantau rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pengembara dari China buat masa ini sentiasa dipantau rapi di pintu masuk utama Malaysia biar pun negara ini tidak mengamalkan dasar sekatan ke atas rakyat negara berkenaan.


Bagaimanapun, katanya dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera apabila diperlukan.


"Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara (health border measures) serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana mana pintu masuk.


'Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.


"KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak WHO, negara China serta rakan-rakan negara ASEAN. KKM akan mengambil polisi berpandukan sains serta data yang tepat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Dr Zaliha lagi, pihak WHO sebelum ini telah mengadakan mesyuarat dengan pihak China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi serta pengurusan Covid-19 di negara tersebut.


Katanya berdasarkan maklumat yang dilaporkan negara China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia tetapi terkawal dan vaksin yang telah diperolehi rakyat Malaysia mampu memberi perlindungan.


"Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital.


"Selain itu, tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini. Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.


"KKM menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen. Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian," katanya.


Tambah Dr Zaliha, KKM amat berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8% sahaja rakyat Malaysia yang telah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9% sahaja yang telah mengambil vaksin dos penggalak kedua.


Di samping itu, beliau turut mengingatkan rakyat untuk terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan serta nasihat nasihat kesihatan yang sering ditekankan seperti Elakkan 3S; Amalkan 3W dan amalkan TRIIS.


Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page