top of page

Sistem pendidikan bermasalah sejak era PN, Muhyiddin perlu bertanggungjawab

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 15 hours ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Akmal Manaf


Kritikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek susulan beberapa insiden keganasan di sekolah sejak kebelakangan ini dianggap amat tidak adil.


Bagi Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin, masalah moral pelajar sekolah bukanlah isu yang bermula dalam setahun dua, sebaliknya merupakan penerusan dari kerajaan sebelumnya.


Katanya, Muhyiddin sepatutnya sedar bahawa kelemahan sistem pendidikan sewaktu era pemerintahan PN yang mengamalkan pembelajaran di rumah, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sehingga lebih setahun pada waktu itu, menyebabkan pelajar sekolah rendah gagal dibimbing sebaik baiknya oleh para guru.


Pelajar pada era 2020 - 2022 itulah pada waktu ini menimbulkan masalah dalam sistem persekolahan menengah.


Oleh itu, kata Bryan Ng, adalah lebih baik Muhyiddin tampil dengan cadangan yang konstruktif untuk memperkukuh sistem pendidikan daripada hanya mempolitikkan insiden di sekolah baru-baru ini dan menuding jari kepada kerajaan semasa.


"Tidak adil untuk meletakkan kesalahan di bahu Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek atas setiap musibah yang berlaku di sekolah, sedangkan banyak daripadanya berpunca daripada kelemahan sistemik dan dasar tidak berkesan yang diwarisi daripada kerajaan pimpinan beliau dahulu.

Bryan Ng Yih Miin
Bryan Ng Yih Miin

''Seperti yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Juwairiya Zulkifli dalam laporan MalaysiaGazette bertarikh 16 Oktober 2025, tidak adil menyalahkan Menteri Pendidikan atas semua musibah di sekolah kerana kejadian boleh berlaku di mana-mana dan berpunca daripada pelbagai faktor.


''Hakikatnya, ketika Muhyiddin menjadi PM, kadar keciciran pelajar meningkat, jurang digital melebar, sekolah daif tidak dibaiki, dan ribuan pelajar tercicir akibat kegagalan pelaksanaan sistem pembelajaran dalam talian semasa pandemik,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Malah kata Bryan Ng, Menteri Pendidikan pada waktu ini sedang berusaha untuk memulihkan sistem yang telah rosak akibat kealpaan pentadbiran lalu.


''Adalah tidak wajar menjadikan beliau kambing hitam atas tindakan individu atau tragedi yang berlaku di sekolah,'' bidas beliau lagi.


Untuk rekod, kelmarin, dalam satu kenyataan media dimuat naik di Facebook Muhyiddin, Ahli Parlimen Pagoh itu menyifatkan insiden pelajar ditikam di sebuah sekolah sebagai bukti kegagalan kerajaan dalam mengurus pendidikan.


Muhyiddin berkata, kehilangan seorang anak di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan mendidik ini bukan sekadar satu tragedi, tetapi tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya melindungi masa depan generasi muda.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page