Sistem PADU kukuh patuhi standard antarabangsa - Rafizi
- Suara Keadilan
- Mar 26, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Ekonomi memberi jaminan data privasi dan ciri keselamatan dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah selamat daripada sebarang kebocoran.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata sistem berkenaan mematuhi piawaian global, termasuk bagi komponen keselamatan rangkaian membabitkan pelaksanaan kawalan akses capaian serta penyulitan.
"Saya tidak pernah maklum mengenai perkara ini kerana ingin melindungi keselamatan sistem. Bagaimanapun, sekiranya ditanya sama ada data sudah ‘encrypted’ atau tidak, itu sudah kita lakukan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Rafizi berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu apakah mekanisme untuk meningkatkan dan mempercepatkan pendaftaran rakyat Malaysia terhadap PADU.
Mengulas lanjut Rafizi berkata, kerajaan ketika ini telah membuka lebih banyak kaunter fizikal dengan melibatkan sebanyak 911 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) serta 27 Urban Transformation Centre (UTC) dan Rural Transformation Centre (RTC).
Selain itu, pendaftaran juga dilakukan di hotspot dan lokasi strategik, antaranya di pasaraya, karnival, pusat komuniti dan balai raya untuk memudahkan akses oleh rakyat.
Tambahnya, ‘Flying Squad’ juga digerakkan di kawasan pedalaman, yang sukar mendapat akses internet terhadap golongan rentan melalui kerjasama bersama agensi strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan Kerajaan Tempatan.
"Penggunaaan fasiliti program Outreach Kementerian Digital ke kawasan pedalaman menggunakan peranti satelit Starlink dan MyGovNet juga membantu dalam memastikan tiada keciciran berlaku," katanya lagi.
Comments