Sistem Kejara gagal, bakal dirombak secara besar-besaran
- Suara Keadilan
- Jun 14
- 1 min read

Kerajaan bakal melaksana rombakan besar-besaran terhadap Sistem Mata Demerit bagi Kesalahan Trafik (Kejara) dalam masa terdekat, kata Menteri Pengangkutan.
Anthony Loke Siew Fook dalam satu sidang media di Shah Alam pada Jumaat mengakui, sistem sedia ada dianggap gagal dan tidak berkesan memandangkan pengurangan mata demerit hanya dilakukan selepas pesalah trafik menjelaskan saman atau didakwa di mahkamah, bukan sewaktu saman dikeluarkan.
"Saya akui, sistem Kejara ini gagal sebab pendekatannya tidak betul. Kita akan teruskan tapi akan ada rombakan besar-besaran, ia tidak efektif sekarang.
"Kita mahu pastikan kuat kuasa itu berlaku lebih cepat dan konsisten agar pemandu yang buat kesalahan benar-benar dikenakan tindakan tanpa penangguhan," katanya.
Anthony berkata begitu selepas merasmikan majlis pelaksanan penggunaan pengehad kelajuan bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd.
Sistem Kejara diperkenalkan pada 2017 sebagai sebahagian daripada Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya melalui pengesanan penalti terhadap pesalah trafik berulang.
Menerusi sistem ini, pemandu yang mengumpul terlalu banyak mata demerit berisiko digantung atau dibatalkan lesen memandu mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony memaklumkan bahawa kementeriannya, melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menguatkuasakan keperluan SLD - peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan perdagangan.
Langkah yang akan bermula 1 Oktober ini sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat.
Comments