top of page

Sistem janji temu perubatan guna MySejahtera kurangkan kesesakan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 28, 2022
  • 2 min read

ree

Sistem janji temu pesakit dengan fasiliti primer Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada di hospital atau klinik menggunakan aplikasi MySejahtera dijangka akan mengurangkan kesesakan dan menyingkatkan masa menunggu.


Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa penggunaan aplikasi MySejahtera tersebut adalah sejajar dengan pelan strategik pendigitalan 2021 - 2025 KKM di bawah Teras Strategik 2, iaitu pemantapan teknologi baharu yang akan menyenangkan rakyat.


"Mengambil kira masa menunggu yang lama, sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang sedia ada disemua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan, dan akses klien di fasiliti kesihatan primer," katanya dalam kenyataan hari ini.


Perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam sistem janji temu tersebut, kata Dr Zaliha adalah rawatan pesakit luar; inisiatif saringan kesihatan kebangsaan (NHSI); saringan kesihatan PeKa B40; pemeriksaan kesihatan pra pekerjaan/ pra pengajian; saringan pra perkahwinan; khidmat berhenti merokok; perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur (rawatan luka, penukaran tiub dll).


"Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.


"Sistem janji temu ini bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu


"Antara kelebihan sistem janji temu atas talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa. Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan," katanya lagi.


Sistem tersebut juga, katanya mempunyai fungsi automated reminder supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah.


Bagaimanapun, untuk kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan tanpa perlu membuat temu janji aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 kerana ia telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan dengan bermula hari ini.


Dengan pendigitalan perkhidmatan KKM tersebut, Dr Zaliha berharap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagan kesihatan negara lebih efisien.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page