top of page

Sistem Alamat Nasional impak ekonomi RM2 bilion, wujud 2,000 pekerjaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 17
  • 2 min read

Datuk Fahmi merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)
Datuk Fahmi merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)

Oleh: Helmi Mohd Foad


Kerajaan sedang membangunkan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang dijangka membawa limpahan ekonomi mencecah RM2 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu bakal mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu selain meningkatkan kecekapan pelbagai sektor termasuk logistik, perkhidmatan kurier dan pengurusan bencana.


"NAS bukan sekadar menyelesaikan cabaran semasa seperti kelewatan penghantaran dan kesukaran bantuan kecemasan, malah ia akan memacu transformasi digital negara dan menjana impak sosioekonomi yang besar," katanya ketika merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.


Fahmi menjelaskan ketika ini terdapat kira-kira 12 juta alamat di seluruh negara, namun tiada satu pangkalan data tunggal yang berpusat, sahih dan berpandukan piawaian standard.

Katanya NAS akan menghimpunkan maklumat alamat secara autoritatif dan berpusat, menggunakan piawaian MS2039 yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.


Setiap alamat akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi unik bagi memastikan keseragaman dan ketepatan sekali gus memudahkan pelbagai aplikasi seperti pengesanan lokasi semasa banjir, perancangan bandar dan penghantaran e-dagang, jelas beliau.


Untuk merealisasikan sistem tersebut, Fahmi menjelaskan kerajaan juga akan melaksanakan Pelan Anjakan NAS bermula dengan projek perintis di beberapa lokasi strategik.


Ujar beliau projek itu bertujuan menguji model pengumpulan dan integrasi data melibatkan tadbir urus, teknikal dan pentadbiran oleh agensi-agensi berkaitan.


"Malaysia mempunyai landskap geografi yang unik seperti FELDA, rumah panjang, rumah atas air dan kampung tradisional. Setiap lokasi ini perlukan pendekatan khusus untuk melengkapkan sistem alamat," jelas Fahmi.


Dalam pada itu beliau turut menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, syarikat logistik dan rakyat negara ini agar bekerjasama menjayakan inisiatif ini yang disifatkan sebagai teras kepada pembangunan negara berteraskan digital.


"Saya berharap Pelan Anjakan NAS diguna pakai oleh semua agensi dan industri untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berorientasikan digital," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page