Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Perladangan dan Komoditi dan beberapa agensi di bawah kementerian yang terlibat secara khusus dengan industri ladang dan komoditi, konsisten melaksanakan aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D) dalam teknologi hijau.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, aktiviti R&D itu bertujuan mengenal pasti bahan sisa sawit yang sebelum ini dianggap sebagai bahan buangan.
''Ia untuk diintegrasikan semula ke dalam nilai rantaian sejajar dengan konsep ekonomi kitaran.
''Sebagai contoh, tandan buah kosong (EFB), mesocarp fibre dan palm kernel shell merupakan sisa biojisim sawit yang boleh menjana tenaga boleh diperbaharui. Bahan sisa ini akan dibakar di dalam dandang (boiler).
"Wap yang dihasilkan akan menggerakkan turbin untuk menjana tenaga elektrik yang dapat dimanfaatkan semula dalam kilang sawit," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) yang meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan inisiatif memanfaatkan biojisim daripada sektor agrikomoditi bagi mencipta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda dan menggalakkan amalan ekonomi kitaran untuk mengelakkan bahan buangan berkenaan dibazirkan menjadi gas rumah hijau (GHG).
Menjelaskan lebih terperinci, Johari berkata, proses penghasilan minyak sawit mentah (CPO) di kilang sawit pula, akan menghasilkan air buangan dikenali sebagai efluen kilang minyak sawit atau palm oil mill effluent (POME).
''POME pula akan melepaskan gas metana. Kilang sawit dapat membangunkan infrastruktur untuk memerangkap biogas POME bagi mewujudkan tenaga boleh diperbaharui.
''Sisa yang tertinggal selepas proses pemerangkapan biogas boleh dijadikan bahan bagi menghasilkan biobaja.
''EFB dan oil palm trunk dapat dimanfaatkan sebagai bahan sungkupan (mulch) yang boleh menambah baik keadaan tanah di ladang," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, menjelang 2030, Johari berkata, industri biojisim menerusi sektor agrikomiditi berasaskan sisa sawit dijangka mampu menjana ekonomi bernilai RM17 bilion dan pelaburan sebanyak RM7 bilion.
Hal itu katanya sekali gus dijangka dapat mewujudkan sebanyak 33,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor biojisim menjelang 2030.
Comments