SIS Forum: Keputusan mahkamah isu Perlembagaan, tidak sentuh kandungan fatwa
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan fatwa terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum oleh pihak berkuasa agama Selangor sebelum ini tidak melibatkan fatwa tersebut secara keseluruhannya, kata seorang peguam.
Dr Zulqarnain Lukman yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang AMANAH (Kanun) berkata, penghakiman tersebut sebaliknya menyentuh tentang isu Perlembagaan Persekutuan yang mengehadkan bidang kuasa negeri hanya ke atas individu tertentu dan bukannya ke atas sebuah organisasi seperti syarikat.
"Antara intipati penghakiman tersebut, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa SIS Forum bukanlah seorang individu. SIS Forum adalah sebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat.
"Dalam maksud lain, SIS Forum adalah manusia atau orang buatan (artificial person). Maka ia tidak tertakluk di bawah perundangan Syariah kerana Butiran 1, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan bidang kuasa negeri ke atas orang sebenar dan bukannya orang buatan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 3-1 membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar yang diwartakan 11 tahun lalu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Fatwa itu menyatakan “SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, pertubuhan, atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.”
Zulqarnain yang juga anggota Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam menjelaskan keputusan tersebut mempunyai tafsiran yang hampir sama dengan kes Iki Putra dan Nik Elin di mana mahkamah tertinggi itu hanya menumpukan isu bidang kuasa antara Persekutuan dan negeri sahaja.
"Mahkamah Persekutuan tidak menyentuh mengenai kandungan fatwa itu dan Mahkamah Persekutuan tetap menyatakan kandungan fatwa itu adalah dalam bidang kuasa Jawatankuasa Fatwa," jelas beliau.
Kata beliau Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam penghakimannya menyebut; "Supaya kami tidak disalah faham, kami mengulangi bahawa kami tidak membuat apa-apa komen mahupun menyatakan apa-apa pendapat tentang isi kandungan fatwa tersebut..."
Justeru itu, jelas Zulqarnain meskipun terdapat pihak yang cuba menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan keputusan mahkamah tersebut, ia boleh dianggap sebagai satu permainan politik musuh pemimpin negara itu.
"(Ini) kerana semua pihak tahu bahawa Anwar tidak mencampuri urusan mahkamah atas menjaga kebebasan institusi kehakiman. Malah dalam kes terbaru yang melibatkan dirinya sendiri pun beliau tidak berjaya [permohonan kepada mahkamah] seperti dalam kes Yusuf Rawther baru-baru ini.
"Sama-samalah kita tunggu alasan penuh penghakiman (kes SIS Forum) ini. Barangkali ada aspek lain yang kita boleh komen kelak," ujarnya.