top of page

Sirah Nabi pedoman bina negara adil, aman, bersatu – PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 45 minutes ago
  • 1 min read

Pengalaman Rasulullah SAW membangunkan Madinah memperlihatkan bahawa keadilan, ihsan dan perpaduan mampu membentuk masyarakat yang matang dari segi akhlak serta pemikiran.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sirah Nabi Muhammad SAW perlu terus dijadikan pedoman dalam membina negara yang adil, aman dan bersatu, khususnya dalam masyarakat majmuk yang berdepan pelbagai cabaran.


"Perseteruan antara Aus dan Khazraj berjaya dileburkan melalui semangat perpaduan Ansar demi mewujudkan kestabilan serta menghapuskan rasa curiga dan kegelisahan antara kaum.


"Jaminan terhadap keperluan asas dan keamanan turut menjadi antara asas penting dalam membina kehidupan masyarakat yang sejahtera," katanya menerusi perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul yang diraikan hari ini.


Sementara itu menurut perdana menteri, pendekatan di Madinah turut memberi perhatian kepada golongan miskin dan lemah, selain menyediakan ruang kepada kelompok berbeza serta menolak amalan monopoli demi mewujudkan ekonomi yang lebih saksama.


"Hari ini, strategi Baginda SAW kekal menjadi rujukan. Tentunya tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 ini dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya.


"Namun kita akan terus berusaha, selagi kudrat dan masa masih tersisa, bagi melakukan perubahan dan islah menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT," tambahnya.


Menerusi perutusan tersebut, perdana menteri turut mendoakan Malaysia terus dirahmati dan rakyatnya dikurniakan kasih sayang serta rezeki yang berkat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page