Sinergi dasar Persekutuan-Negeri jamin kesejahteraan rakyat - Amirudin
- Suara Keadilan

- Oct 11
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Selangor menyambut baik Belanjawan 2026 yang dijangka akan memberi kesan langsung kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, belanjawan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh sektor ekonomi baharu, pendidikan dan kesihatan awam.
"Kerajaan Selangor menzahirkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan persekutuan menangani impak perubahan iklim dan bencana banjir, khususnya menerusi kesinambungan projek RTB di seluruh negara, termasuk RTB Sungai Buloh Fasa 2 yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat Selangor," ujarnya.
Sementara itu, Amirudin turut menghargai pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap projek pembangunan Selangor Aero Park (SAP) yang sedang dibangunkan di Sepang.
"Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya menerima dengan amat positif pengiktirafan Selangor Aero Park yang akan memposisikan Malaysia sebagai pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), logistik dan kargo serantau," katanya dalam kenyataan.
Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM419.2 bilion dalam Belanjawan 2026 mewakili 19.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
RM338.2 bilion atau 80.7 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki RM81 bilion diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).
Amirudin turut memuji langkah kerajaan menambah peruntukan Sumbangan Asas Rahmah kepada RM15 bilion bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup, serta memperkukuh sistem kesihatan awam dengan penambahan perkhidmatan pakar di klinik kesihatan.
Dalam bidang pendidikan, peningkatan peruntukan dan pembinaan sembilan sekolah baharu di Selangor disifatkan sebagai pelaburan penting melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
"Belanjawan 2026 menunjukkan keselarasan antara dasar nasional dan agenda negeri ke arah menjadikan Selangor peneraju kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat," katanya.
Perdana Menteri pada 27 September lalu memaklumkan, Belanjawan 2026 tidak hanya akan ditentukan di peringkat kementerian, tetapi berdasarkan keutamaan ekonomi setiap negeri.









Comments