Sindiran guru: 'Kalau Zahid jadi PM kita mundur ke belakang' - Zawawi


Kritikan terbuka Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap dasar Kerajaan MADANI di Perhimpunan Agung Umno (PAU), disifatkan sebagai tindakan ‘tidak menghormati’ rakan sepasukan, sedangkan isu berkenaan sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni (gambar) menyifatkan ‘kritikan’ oleh Zahid itu sekadar dijadikan bahan untuk meraih simpati dalam kalangan pengikutnya.
"Kalau begini pemimpin Umno yang nak diangkat menjadi perdana menteri, kita akan mundur ke belakang, bukannya makin maju ke hadapan.
"Dengan persepsi terhadap imej beliau susulan 47 pertuduhan (rasuah, pengubahan wang haram) yang pernah dihadapi (kemudian dilepas tanpa bebas), saya rasa pelabur-pelabur pun akan angkat kaki cepat," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Terdahulu media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, menyindir Anwar dengan gelaran 'guru' berkata partinya boleh melakukan lebih baik dalam polisi bahan api bersubsidi dan menggesa PM mendengar suara rakyat.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata demikian dalam ucapan dasar presiden sempena PAU yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Ketika menggariskan agenda ekonomi, Ahmad Zahid mengkritik perkara yang disifatkannya sebagai ketidakpastian berhubung dasar kerajaan, khususnya subsidi oleh PM Anwar yang dirujuk beliau sebagai ‘guru’ dalam ucapan itu.
Bagaimanapun, Mohd Zawawi menyelar kenyataan Zahid bahawa ‘partinya boleh melakukan yang lebih baik’ dengan menyifatkannya sebagai sekadar janji kosong yang dibuat untuk meraih sokongan politik.
Katanya, sebelum memperoleh kuasa, pelbagai janji boleh ditaburkan, namun apabila kuasa sudah berada di tangan, realitinya boleh berubah dan tidak semestinya seperti yang dijanjikan.
"Janji bulan dan bintang, tapi nanti bila dah dapat kuasa, dia akan tukar ayat lain. (Contohnya) dia kata berdasarkan perkembangan semasa, kita tidak dapat nak buat apa yang kita janjikan.
"Saya rasa Umno kena muhasabah supaya mereka tahu diri dan menginsafi bahawa sekarang ini untuk mereka kembali semula ke puncak kuasa rasanya sudah susah.
"Parti-parti politik yang lain dalam dunia pun untuk mereka bangkit itu (juga) sudah susah kerana telah mengkhianati amanah rakyat," ujarnya lagi.




Comments