Sinar Ramadan buat keluarga Hasrizal, tidak lagi menghuni rumah bocor, tilam basah
- Redzuan Shamsudin
- Mar 30
- 3 min read

Di tengah gemerlap kemajuan luar biasa Pulau Pinang, tiada yang menyangka terdapat keluarga yang hidup begitu daif dan terpaksa berpuasa biarpun di luar bulan Ramadan.
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, beliau menemui ketua keluarga Hasrizal, 47 yang bekerja sebagai buruh dengan gaji pokok RM1,700 sebulan dan keluarga itu tidak mempunyai sumber pendapatan lain.
Baru baru ini pula motorsikal Hasrizal rosak dan beliau terpaksa menghabiskan masa 1 jam setengah berjalan kaki ke tempat kerja kerana tidak mampu membaiki motorsikal dengan kos RM500.
"Keluarga Hasrizal ini menetap di sebuah rumah setinggan seluas 100 kaki persegi bersebelahan airport Penang Pematang Damar Laut. Mereka duduk dalam satu bilik kecil yang atapnya sentiasa bocor bila hujan.
"Bayangkan katil mereka basah, lantai rumah berlecak, tapi mereka tetap tak ada pilihan. Mereka terpaksa tidur di atas katil basah dan di bawah teduhan payung kecil.
"Ketika saya datang melawat, saya nampak dua orang anaknya hanya berkaki ayam. Saya pun tanya kenapa tak pakai selipar? Si ibu, Mazmin menjawab getah selipar mereka baru je putus. Nak beli sepasang harga RM8, mana mereka mampu. Harga RM8 dah sama macam harga makanan untuk tiga orang. Jadi daripada beli selipar lebih baik beli makanan," katanya.
Tze Tzin kemudian bertanya bagaimanakah juadah berbuka puasa keluarga berkenaan, adakah mencukupi? Namun jawapan yang diterimanya amat mengejutkan.
"Mazmin beritahu saya, setiap hari adalah Ramadan bagi mereka.
"Sehari kami hanya makan sekali je YB. Kadang-kadang saya tak makan sebab kena pastikan anak-anak makan dulu. Orang dewasa tak makan takpe tapi anak-anak memang tak boleh.
"Sampai saya sendiri tak dapat nak hasilkan susu untuk bayi saya. Tapi nasib baik ada jiran-jiran yang baik hati. Mereka selalu pastikan saya ada makanan," ujarnya.
Disebabkan miskin tegar, dua anak mereka terpaksa berhenti sekolah. Kanak kanak itu terpaksa berkorban untuk memberi laluan kepada adik bongsu lelaki menamatkan persekolahan.
Menurut Mazmin, keluarga mereka hanya mampu tampung kos persekolahan untuk seorang sahaja. Jadi dua beradik yang tidak bersekolah akan pergi memancing ikan pada masa lapang.
Bagaimanapun, penderitaan keluarga berkenaan tidak sampai ke pengetahuan Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru dan hanya diberitahu oleh jiran mereka baru baru ini.

Justeru, Tze Tzin bertindak pantas dengan membuka tabung untuk membantu keluarga malang berkenaan dan setakat ini jumlah dana terkumpul adalah sekitar RM26,000.
"Saya gunakan dana ini untuk mendapatkan satu unit perumahan Kerajaan Negeri bersaiz 700 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 1 bilik air untuk mereka.
"Saya bawa keluarga ini ke rumah baru dan kemudian buat surprise dengan menyerahkan kunci kepada mereka. Saya cakap mulai hari ini, keluarga abang dan kakak dah tak perlu tidur atas katil basah lagi. Mereka sudah ada sebuah mahligai untuk didiami
"Saya akan settlekan bayar rumah, bil elektrik dan air selama 3 tahun. Saya juga akan bantu Hasrizal untuk mencari pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi dan memasukkan anak-anak ke kursus TVET untuk mereka belajar kemahiran baru.
"Motor baru pun saya belikan satu supaya dia tak perlu lagi berjalan kaki ke tempat kerja. Saya buat semua ini supaya mereka boleh pulih dan bina semula hidup mereka perlahan-lahan," katanya.

Selain itu, Tze Tzin juga membawa keluarga Hasrizal membeli belah untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma, terutama untuk anak anaknya yang sebelum ini hanya mengharapkan pakaian terpakai daripada penduduk setempat untuk digunakan sebagai baju raya.
Bagi keluarga Hasrizal, kata Tze Tzin, Kerajaan Madani akan membela mereka dan memastikan yang terbaik buat rakyat marhaen.
Comments