Kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin membayangkan pembangunan di Sarawak mungkin terencat sekiranya pengundi tidak memilih dengan 'bijak' dalam Pilihan Raya Negeri kali ini merupakan ugutan halus yang tidak seharusnya dilakukan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit, simpanan Sarawak sebanyak RM31 bilion sebenarnya mencukupi untuk mentadbir negeri tersebut, apatah lagi dengan hasil petroleum, gas asli dan balak yang amat besar.
Cuma, kata Abun Sui, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau sebelum ini BN tidak menggunakan sumber asli tersebut dengan betul sehingga rakyat Sarawak dikategorikan antara yang termiskin di Malaysia.
"Sumber Sarawak banyak, RM31 bilion. Jadi kita kena ada political will untuk menggunakan simpanan itu untuk kepentingan rakyat, kebaikan rakyat," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Ketua Cabang Hulu Rajang itu turut membidas sikap kebanyakan pemimpin Sarawak yang memulangkan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan seolah olah rakyat di bawah jagaan mereka telah terbela sepenuhnya.
Menurut Abun, perbuatan tersebut berlaku kerana ahli politik pemerintah malas untuk mengambil tahu kesusahan rakyat bawahan atau tidak mahu tahu masalah kehidupan mereka
"Kadang kadang peruntukan itu tidak digunakan dan dikembalikan. Ini bagi saya kerana pemimpin di Sarawak ini tidak perform, itulah sebabnya peruntukan itu tidak habis digunakan.
"Sebab itu pilihan raya ini untuk kita memilih sesiapa sahaja (termasuk bukan calon pemerintah). Siapa yang mencalonkan diri memang layak untuk dipilih, itu sahaja," katanya
Sehubungan itu, Abun menasihatkan PM Ismail Sabri agar membetulkan kenyataannya kepada rakyat Sarawak agar dilihat lebih bermaruah sebagai PM untuk semua dan bukan hanya untuk penyokong BN atau sekutu mereka sahaja.
"Sepatutnya diberi sama rata ke semua pelosok negara.
"Sekali lagi ia tidak patut keluar dari mulut seorang PM. PM macam ini partinya harus ditolak. Ini menunjukkan pada masa sama kamu katakan Keluarga Malaysia (tangan kanan), tangan kiri kamu pancung semua kita. Ini tidak bagus," katanya lagi.
Comments