Sim Tze Tzin janji galas amanah dengan integriti
- Suara Keadilan

- Dec 17
- 1 min read

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu dilantik, Sim Tze Tzin (gambar), beriltizam menggalas amanah dengan penuh dedikasi, amanah dan integriti demi kepentingan negara.
Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata, tumpuan utama akan diberikan kepada pembangunan industri semikonduktor dan teknologi tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab teknologi serantau.
"Pelantikan itu merupakan satu amanah besar yang menuntut komitmen tinggi. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti KEADILAN terhadap saya," katanya dalam satu kenyataan.
Tze Tzin turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Bayan Baru atas kepercayaan berterusan yang diberikan sepanjang empat penggal perkhidmatannya termasuk satu penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak.
"Sokongan anda semua amat bermakna dan menjadi dorongan untuk saya terus berkhidmat dengan lebih baik," tambahnya.
Perdana Menteri semalam mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan pelantikan 27 menteri dan timbalan menteri merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu sekali gus memberi tumpuan bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.
Sementara itu Tze Tzin dalam kenyataan sama turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani atas pelantikan sebagai Menteri MITI.
"Saya menantikan kerjasama yang lebih erat bersama beliau dalam memperkukuh agenda pelaburan, perdagangan dan perindustrian negara," jelasnya.









Comments