Sim Tze Tzin: Dari buta warna ke politik tanpa warna kulit
- Suara Keadilan
- 12 hours ago
- 2 min read

"Saya buta warna. Prinsip politik saya juga buta warna kulit." Itulah pengakuan ikhlas Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, yang menyamakan perjalanan hidupnya dengan perjuangan politik berbilang bangsa yang beliau bawa selama ini.
Tze Tzin mengimbau kembali detik sewaktu darjah dua, apabila beliau tanpa sedar mewarnakan kulit manusia dengan warna hijau. Saat itu, barulah beliau tahu dirinya seorang yang buta warna.
"Saya masih ingat ibu bapa dan cikgu saya amat terkejut. Itu pertama kali saya tahu saya adalah buta warna. Kulit manusia mungkin putih, kuning, atau hitam manis, tetapi tidak pernah hijau," katanya dalam kenyataan di X.
Menurutnya, daripada pengalaman kecil itulah beliau membina prinsip besar dalam perjuangannya bahawa politik seharusnya juga “buta warna”, yakni tidak mengenal kaum, agama mahupun warna kulit.
"Saya percaya semua manusia adalah setara. Kita adalah umat sejagat.
"Itulah sebabnya saya menyertai parti pelbagai kaum, untuk memperjuangkan keadilan untuk semua. Perjalanan saya dalam politik sentiasa berpegang pada prinsip ini, kerana masa depan anak-anak kita haruslah dalam Malaysia yang inklusif, adil, dan harmoni," ujarnya.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Tze Tzin turut menzahirkan komitmen untuk terus membina Malaysia yang makmur dan adil dengan menyalurkan peruntukan pembangunan di Bayan Baru, antaranya RM400,000 bagi pembinaan Dewan Terbuka SK Minden Heights; RM50,000 bagi komputer baharu untuk guru di SMJK Por Tay; RM60,000 bagi projek Perpustakaan Digital di SJKT Sungai Ara dan banyak lagi sedang diusahakan.
Bagi Tze Tzin, perjuangan politik bukan sekadar soal kuasa tetapi tentang memastikan setiap anak Malaysia mampu membesar dalam negara yang menerima mereka seadanya.
"Harapan saya, anak-anak kita akan membesar dalam sebuah negara yang maju, makmur, dan buta warna kulit," katanya mengakhiri kenyataan sempena ulang tahun kemerdekaan ke 68.
Comments