Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin tampil membantu menaik taraf rumah Pak Rashid yang daif dan serba kekurangan.
Beliau berkata, Pak Rashid hanya bekerja sebagai buruh kasar di tapak binaan dan tidak berupaya utk merealisasikan impiannya, sebaliknya sekadar mampu membina rumah secara ala kadar agar mereka berdua tidak berbumbungkan embun dan berbantalkan kaki lima.
Namun, katanya, setiap kali hujan, air tempias masuk melalui celah-celah ruang tingkap yang belum dipasang cerminnya. Pak Rashid dan isteri terpaksa sibuk mengelap lantai rumahnya yang dibasahi air hujan.
"Saya telah berkunjung ke rumah Pak Rashid beberapa hari sebelum Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya dapati setiap kali hujan, air tempias masuk melalui celah-celah ruang tingkap yang belum dipasang cerminnya. Pak Rashid dan isteri terpaksa sibuk mengelap lantai rumahnya yang dibasahi air hujan.
"Setelah mendengar segala keluhan hati dan memahami denyutan nadinya, saya bertekad untuk menunaikan hasrat Pak Rashid agar dijadikan hadiah Hari Raya Puasa Pak Rashid untuk kekasih awal dan akhirnya iaitu Puan Rahmah.
"Untuk memberikan keceriaan dan suntikan nafas baharu rumah Pak Rashid, saya merancang untuk mengecat rumahnya berdasarkan warna kesukaan mereka berdua. Kemudian saya menaikan taraf sedikit ruang dapur yang merupakan tempat paling penting seisi keluarga.
"Namun sebelum itu, saya perlu membantu pasangan bahagia itu membersihkan rumah dengan membuang barang-barang yang tidak diperlukan lagi agar mereka dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana persekitaran yang bersih, ceria dan menggembirakan," katanya.
Sim mengakui, pelbagai cabaran dihadapi dalam proses menaik taraf rumah Pak Rashid.
"Pertama saya perlu memburu masa yang ada kerana dua tiga hari lagi Syawal akan menjelang tiba.
"Pelaksanaan PKP di seluruh negara memburukkan keadaan lagi kerana timbul masalah mendapatkan keperluan bekalan bahan untuk make over rumah Pak Rashid.
"Namun berbekalkan prinsip di mana ada kemahuan di situ ada jalan, segala-galanya berjalan dengan lancar. Mungkin juga berkat doa Pak Rashid dan isterinya dalam solatnya pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
"Akhirnya rumah Pak Rashid berwajah baharu telah dicat dengan warna kesukaan mereka berdua dan cermin tingkap telah dipasang seperti yang dikehendakinya.
"Kini Pak Rashid dan isterinya tidak lagi dalam kebimbangan jika hujan turun mencurah-curah. Pak Rashid merakamkan penghargaan dan rasa terima kasih kepada saya kerana membantunya menunaikan hasratnya. Bagi saya, sumbangan saya kecil sahaja namun memberikan pengertian besar buat diri Pak Rashid dan Puan Rahmah," katanya.
Sim kemudian berkunjung semula ke rumah Pak Rashid pada Hari Raya pertama.
"Tangan dihulur maaf dipinta. Saya tumpang gembira apabila Pak Rashid memberitahu saya bahawa Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini amat bermakna kerana rumahnya kelihatan ceria dan berwajah baharu setelah dicat semula.
"Air hujan tidak lagi tempias masuk ke rumahnya setelah cermin tingkap dipasang.
"Pak Rashid jelas kelihatan terharu lalu membaca doa untuk saya dan pejabat Parlimen saya. Saya turut terharu.
"Saya bersyukur kerana dapat menyantuni Pak Rashid dan isterinya. Semoga mereka kekal bahagia sampai ke jannah. Mereka berdua ialah pasangan mithali buat kita semua," katanya.
Sim berkata, Pak Rashid berasa gembira sehingga sanggup menadahkan tangan dan memohon diberikan kerahmatan kepada beliau.
"Sebelum saya beredar, beliau begitu terharu lalu membaca doa untuk saya dan Pejabat Parlimen Bayan Baru. Mata beliau basah. Saya turut rasa terharu," katanya.
Sim mendedahkan, kerja-kerja naik taraf atau "make over" rumah seumpama itu merupakan salah satu initiatif yang dijalankan sejak tahun 2018.
"Mak Cik Kiah dari Permatang Tepi Laut (2018), Puan Latifah dari Kampung Madrasah (2020), Encik Teh Lian Chong dari Taman Utama (2019) dan Encik Ravinchandran dari Taman Brown (2019) merupakan antara 28 rumah yang telah dinaiktaraf.
"Kerja-kerja naiktaraf ini, kami namakannya "Projek Harapan Parlimen Bayan Baru".
"Di bawah Projek Harapan ini, rumah-rumah kampung dari keluarga fakir miskin yang mengalami pelbagai kerosakan telah berwajah baharu setelah dinaik taraf," katanya.
Justeru, beliau mengalu-alukan sumbangan derma kepada Pusat Khidmat Parlimen Bayan Baru melalui akaun Maybank bernombor 5570-5461-1829 dengan Rujukan: Projek Harapan Bayan Baru.
"Semoga sumbangan tuan / puan akan membantu kami melaksanakan lebih banyak projek harapan pada masa-masa akan datang," katanya.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Pejabat Parlimen Bayan Baru di talian 0194432088.
Comments