Sikap Hannah Yeoh hormati rakan Islam, tepati masa perlu dipuji
- Suara Keadilan
- Mar 12, 2024
- 2 min read

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyanjung sikap hormat Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam memenuhi permintaan rakan-rakan Islam dengan memakai selendang ketika mengiringi Perdana Menteri melawat Al-Takwa College di Melbourne, Australia baru-baru ini
Pengerusinya Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, sikap Ahli Parlimen Segambut dari DAP itu harus dicontohi memandangkan ia adalah satu toleransi atas dasar semangat menghormati tanpa membelakangkan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.
"Pakaian (selendang) tersebut tidak menggambarkan simbol keagamaan tetapi melambangkan kesopanan dan tertib serta hormat sesuatu majlis yang merupakan cerminan ketinggian keperibadian insan rakyat Malaysia.
"YADIM juga memuji tindakan dan keputusan YB Hannah Yeoh dalam memilih untuk memberi keutamaan kepada ketepatan masa berbanding urusan pakaian, kerana tidak mahu terlambat untuk pertemuan dengan Universiti Monash dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diawalkan masa sejurus selepas pertemuan di Al-Takwa College, Melbourne," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas penjelasan Hannah mengenai kritikan yang dilempar terhadapnya apabila dilihat mengenakan selendang ketika mengiringi Perdana Menteri melawat Universiti Monash di Australia dalam rangka lawatan Anwar ke negara kanggaru itu baru-baru ini.
Pengkritik mempertikaikan mengapa Hannah mengenakan selendang dalam pertemuan tersebut namun menteri itu memberikan penjelasan bahawa beliau sebelum itu menyertai Anwar pada majlis lawatan ke sebuah pusat pengajian Islam, Al-Takwa College di Melbourne.
Selepas itu beliau memilih untuk kekal dengan penampilan tersebut disebabkan kesuntukan masa untuk pertemuan dengan delegasi di Universiti Monash yang telah diawalkan.
Hasanuddin berkata tindakan yang diambil oleh Hannah itu merupakan sikap terpuji dan perlu dicontohi dari sudut memberi keutamaan (aulawiyat) kepada satu perkara yang lebih besar iaitu menepati masa, menghormati tetamu dan temu janji.
YADIM ingin mengajak masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama agar lebih objektif, berfikiran terbuka, menjauhi prasangka serta cepat membuat kesimpulan dan hukuman dalam memberi komen terhadap insiden seperti ini, katanya.
"Dalam konteks yang lebih luas dan masa hadapan, YADIM menyokong agar pakaian yang bercirikan kesopanan dapat diangkat menjadi sebahagian daripada kod etika berpakaian.
"YADIM juga berharap agar pada masa hadapan masyarakat Malaysia akan lebih jelas dalam isu seperti ini antara keperluan menjaga hubungan dan hormat dengan kepercayaan serta pegangan agama.
"YADIM menggesa supaya berpakaian sopan di khalayak ramai hendaklah menjadi amalan bersama, bukan hanya dalam kalangan umat Islam bahkan seluruh rakyat Malaysia," ujarnya.
Comments