Sikap Fadhli Shaari tidak cerminkan kematangan fikiran - AMK Sabah
- Suara Keadilan
- Jul 30
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah mengecam tindakan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memperlekeh usaha diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mendamaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus (gambar) dalam satu kenyataan menegaskan, hantaran sinis Fadhli Shaari di media sosial berkaitan usaha meredakan krisis yang boleh mencetus perang itu merupakan tindakan tidak bertanggungjawab, tidak patriotik, malah mencemarkan imej Malaysia di mata dunia.
"Dunia menyambut baik kejayaan Malaysia sebagai fasilitator rundingan damai yang menyaksikan perjanjian gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat
"Tindakan Ahmad Fadhli menyamakan inisiatif itu dengan watak haiwan dalam karikatur satira adalah sangat tidak wajar, tidak mencerminkan kematangan fikiran sebagai ahli Parlimen apatah lagi seorang pemimpin parti," tegasnya.
Menerusi kenyataan sama, Nur Hilmie menegaskan pendirian AMK Sabah bahawa setiap usaha yang menjunjung prinsip kedamaian dan keselamatan sejagat perlu disokong tanpa mengira ideologi politik.
Sambil menegaskan sokongan terhadap usaha perdana menteri, pihaknya turut menuntut supaya Ahli Parlimen Pasir Mas itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, Thailand dan Kemboja.
"Perdana Menteri telah menunjukkan kewibawaan diplomatik dan moral dalam memainkan peranan penting menyatukan dua negara jiran yang bertelagah. Bukan sahaja mengangkat imej Malaysia, malah memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok keamanan serantau.
"Tindakan berdasarkan kebencian dan politik sempit tidak wajar diberi tempat dalam wacana nasional mahupun serantau, kami menyeru anak muda untuk bangkit mempertahankan maruah negara dan menyokong usaha diplomatik yang selari dengan semangat MADANI," tambahnya.
Comments