top of page

Sikap dolak dalik Bersatu: Pas perlu kaji semula kedudukan dalam PN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 31
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Kedudukan Pas sebagai parti terbesar dalam Perikatan Nasional (PN) perlu dikaji semula berikutan sikap berdolak dalik Bersatu dalam menyelesaikan isu pengerusi gabungan itu selepas presiden parti berkenaan, Muhyiddin Yassin mengundurkan diri pada 1 Jan 2026.


Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar), kedudukan Pas sebagai parti terbesar dalam PN patut dinilai secara rasional, atau segera bertindak mengambil alih kepimpinan PN.


Katanya, Pas tidak wajar 'dipermainkan' oleh Bersatu dengan cadangan terbaharu dari pemimpin tertinggi parti itu agar jawatan pengerusi PN dimansuhkan, dan diganti dengan dua badan baharu iaitu Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang dipengerusikan Pas.


"Sewajarnya Pas sebagai parti terkuat dan terbesar dalam PN apabila dirasakan mungkin dipermainkan sebegini, Pas patut tinggalkan saja PN dan bergerak solo dalam arena politik tanah air.


"Ataupun Pas segera tubuhkan sebuah lagi gabungan tanpa Bersatu atau singkirkan Bersatu, dan kekal dalam PN bersama Gerakan," katanya.


Menurut Faezuddin, dari laporan media pemimpin Pas menolak dilakukan perubahan Perlembagaan PN, namun sekiranya Pas tidak bertindak tegas maka isu tersebut akan berpanjangan dan para penyokong parti akan kecewa dengan krisis kepimpinan yang melemahkan perjuangan dari dalam.


Katanya, Pas sebenarnya tidak terlalu memerlukan Bersatu kerana boleh bertanding di semua kerusi parti itu yang berasaskan kaum Melayu.


"Bersama dengan Bersatu dalam keadaan begini hanya melemahkan Pas dan mengikis keyakinan rakyat.


"Apa perlu Pas takut. Pas boleh bertanding semua kerusi Melayu yang sekarang ditandingi oleh Bersatu," katanya.


Faezuddin diminta mengulas mengenai cadangan Muhyiddin Yassin agar jawatan Pengerusi PN dimansuhkan dan kepemimpinan gabungan itu disusun semula, susulan pertikaian dalaman yang berterusan berhubung pelantikan pengerusi baharu.


Untuk rekod, minggu lalu terdedah surat yang diutus mantan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang mahu gabungan tersebut distruktur semula bagi mengelakkan krisis kepimpinan berpanjangan.


"Dengan penstrukturan semula PN, jawatan pengerusi akan dimansuhkan dan isu pelantikan pengerusi baharu tidak lagi timbul," katanya dalam surat itu dipetik Berita Harian Online.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page