Sijil UEC: Elak sentimen perkauman, junjung Perlembagaan, kepentingan nasional
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 2 min read

Wanita KEADILAN memandang serius perdebatan berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tercetus kebelakangan ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, dan menggesa isu pendidikan ditangani secara profesional demi masa depan negara.
Menurut Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim, perbincangan mengenai pendidikan biar apa aliran sekalipun tidak wajar disempitkan kepada sentimen perkauman, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kepentingan nasional.
"Kami berpendirian bahawa isu pendidikan harus melangkaui sentimen perkauman dan dikembalikan kepada kerangka profesional demi kepentingan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wanita KEADILAN, ujar beliau, menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta mempertahankan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan tonggak utama perpaduan negara dalam isu pengiktirafan UEC.
"Sebarang bentuk penilaian terhadap sijil pendidikan swasta, termasuk UEC, wajib meletakkan kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM sebagai syarat mutlak kemasukan institut pengajian tinggi awam (IPTA)," tegasnya.
Pada masa sama Wanita KEADILAN, kata Ginie, mengingatkan bahawa Malaysia sedang berdepan kerugian besar akibat pengaliran keluar bakat atau brain drain, khususnya dalam era ekonomi global yang semakin kompetitif sekiranya dasar sedia ada tidak menyebelahi realiti ekonomi atau teknologi semasa.
"Kita harus jujur melihat realiti bahawa negara kita mengalami kerugian besar akibat pengaliran keluar bakat (brain drain).
"Dalam era ekonomi global yang kompetitif, Wanita KEADILAN menyokong komitmen Kerajaan Madani mengatasi cabaran brain drain dan memastikan bakat-bakat tempatan yang fasih berbahasa Melayu dan setia kepada negara diberi ruang untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Perdana Menteri untuk meneliti isu sijil UEC secara menyeluruh berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, nilai akademik dan realiti masa hadapan di Asia dan juga global berdasarkan perkembangan semasa.
"Wanita KEADILAN menyokong penuh usaha Perdana Menteri untuk meneliti isu ini dari sudut Perlembagaan Persekutuan, nilai akademik dan pasaran ekonomi, bukan tekanan politik," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan mewujudkan satu mekanisme yang membolehkan semua anak Malaysia yang berkelayakan dan menjiwai semangat kebangsaan terus berkhidmat dan membina masa depan di tanah air sendiri.





