Kerajaan tidak keluar modal buka MADANI Mart, bukan ciplak KR1M
- Helmi Mohd Foad

- 9 minutes ago
- 2 min read

MADANI Mart berkonsep kedai runcit harga rahmah yang dirasmikan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bukan ditiru daripada konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkenalkan pada 2011.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh menjelaskan, kedai serbaneka itu mempunyai model perniagaan berbeza dengan kerajaan tidak mengeluarkan modal bagi pembukaan cawangan pertamanya di Indera Mahkota, Kuantan.
Beliau berkata operasi MADANI Mart digerakkan melalui model kerjasama strategik melibatkan sektor awam iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), operator atau pemegang lesen (swasta) dan Yayasan MADANI (sosial).
"Tak mungkin ciplak sebab dalam model terdahulu (KR1M), kerajaan keluar modal... kerajaan bayar capex (perbelanjaan modal), kerajaan bayar untuk kerja ubah suai, inventori, beli stok.
"Tapi di sini (MADANI Mart) kerajaan tak keluar modal, kerajaan satu sen pun tak keluar modal, jadi lainlah modelnya.
"Ia bukan juga konsep francais kerana kalau francais, ia mengikat 100 peratus, tapi model ini fleksibel," katanya kepada pemberita selepas perasmian cawangan pertama Madani Mart di Kuantan hari ini.
Fuziah berkata pembukaan cawangan pertama MADANI Mart merupakan langkah permulaan bagi membangunkan sebuah rangkaian premis runcit untuk memastikan barangan keperluan harian kekal mampu milik dan mudah diakses.
"Dalam masa sama, ia membuka ruang kepada komuniti dan usahawan tempatan untuk turut serta.
"MADANI Mart akan berkembang ke seluruh negara dan anda boleh jadi antara yang terawal menyertainya," ujarnya.
MADANI Mart menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia dengan matlamat setiap kawasan DUN mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.
Bagi mendapatkan maklumat penuh, konsep dan peluang penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web madanimart.com.my




Comments