Sifar Kemiskinan Haid: Usaha hapus stigma, perkasa kesihatan wanita
- Suara Keadilan

- Sep 30
- 1 min read

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin melancarkan Kempen Sifar Kemiskinan Haid peringkat Parlimen Bandar Tun Razak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu tersebut.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen kawasan itu berkata, fenomena kemiskinan haid atau period poverty masih dianggap tabu dan jarang dibincangkan secara terbuka di negara ini, namun di peringkat global ia bukanlah isu asing.
"Kempen ini bukan sekadar mengagihkan produk sanitari, tetapi juga bertujuan menghapuskan stigma serta meningkatkan literasi kesihatan reproduktif dalam kalangan pelajar perempuan," katanya dipetik.
Kempen dianjurkan Majlis Belia Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Syarikat Uni-Lavender, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak sekolah.
Majlis dihadiri pelajar dari SMK Cheras dan wakil NGO tempatan sebagai simbolik kerjasama masyarakat dalam memperkasa isu kesihatan remaja.
Sementara itu menurut Dr Wan Azizah, berdasarkan data 13.1 peratus remaja perempuan dan wanita muda daripada golongan B40 di Kuala Lumpur tidak mampu membeli tuala wanita setiap bulan.
"Kekangan akses kepada produk kebersihan haid, kemudahan sanitasi yang selamat serta pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh memberi kesan serius terhadap maruah, pendidikan dan kesejahteraan emosi remaja perempuan.
"1 daripada 2 pelajar perempuan pernah berfikir untuk ponteng sekolah ketika datang bulan," jelasnya.
Wan Azizah sementara itu turut menegaskan, isu kemiskinan haid bukan hanya berlaku di bandar tetapi turut membabitkan komuniti luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli, Sabah dan Sarawak yang berdepan cabaran kemiskinan, kekurangan air bersih serta akses produk kebersihan haid.









Comments