top of page

Siddiq Fadzil: Murabi Umat Tiada Galang Ganti



Oleh: Zairudin Hashim


Pemergian Seorang Murabbi


Pada jam 6:32 petang, Selasa, 31 Ogos 2021, Prof. Datuk Dr. Ustaz Siddiq Fadzil (USF) telah kembali kembali ke rahmatullah. Berita ini amat mengejutkan bukan sahaja dalam kalangan warga WADAH-ABIM-PKPIM yang menghormati beliau selaku murabbi. Bahkan berita ini telah mengundang kesedihan dalam ramai jiwa yang telah diketuk pintu hatinya dengan dakwah beliau.


Berperanan sebagai seorang public intellectual (ilmuwan rakyat) yang sangat besar jasanya pada umat, kuliah serta syarahannya sering berisi dengan analisa tajam dengan salutan pantun puisi yang adakala bunyinya lucu tetapi menusuk. Ini membuatkan khalayak tidak jemu mengambil buah fikiran beliau yang segar.


Pidatonya cukup memukau, gaya bahasanya dengan lenggok baku dan keIndonesiaan sering disulami selang seli lelucon (komedi) yang bersahaja dan berbau sindiran yang cukup mengesankan.


Daie tiada galang ganti


Pemergian USF tiada galang gantinya. Dalam kalangan warga ABIM ketokohannya dalam ilmu serta kepimpinan amat dihormati. Sang murabbi yang amat disayangi ini sentiasa sarat dengan buah fikiran dan ketinggian bahasa dalam menyeru ke arah menjadi manusia berbudi.


Selaku editor Risalah, pendirian Ustaz Siddiq Fadzil tetap konsisten dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan yang diwarisi semenjak bergelar seorang mahasiswa. Ketegasan itu yang menyebabkan tulisannya tidak disenangi pihak tertentu.


Selaku pemikir Islam, beliau sering melontarkan idea dan gagasan yang menggugah minda dan mendahului zaman, meskipun dalam masa yang sama beliau terpaksa mengemudi ABIM melalui era yang penuh dengan pelbagai cabaran dan kontroversi. Ucapan dasar ABIM,"Garis-Garis Besar Haluan Perjuangan," yang disampaikan beliau selaku pemangku presiden pada 1982 telah menjadi asas untuk gerakan ini melewati detik-detik sukar ketika itu.


Gagasan Manhaj Maliziy (pendekatan dakwah kemalaysiaan) yang diketengahkan beliau sekitar 1980an sehingga kini banyak diperkatakan sehingga dirumus dalam bentuk kajian akademik dan rujukan sarjana.


Bentuk lanskap keislaman


Sepanjang memimpin ABIM mulai dari 1982 (selaku pemangku presiden) hingga 1991, gerakan ini telah membentuk landskap keislaman di negara ini. ABIM telah berperanan mengetengahkan penyelesaian kepada polemik yang dihadapi umat (problem solving) yang merupakan transisi daripada pendekatan table banging (konfrontasi), yang sering diasosiasikan dengan gerakan ini semenjak penubuhannya.


Secara konsisten Ustaz Siddiq Fadzil menegaskan bahawa ABIM sebagai sebuah gerakan Islam yang mendokong ‘syumuliyyatu ‘l-Islam’ (kesempurnaan Islam). Beliau juga berpendirian bahawa arena politik seharusnya berlaku dalam ‘rules of the games’ (tertib berperaturan) dan kita tidak seharusnya menerima amalan politik mengaibkan orang, politik fitnah, politik kotor, politik korupsi dan politik lucah.


Atas dasar itu menurut USF, ABIM tidak akan berdiam diri apabila berlaku perlanggaran terhadap hak asasi manusia, perlanggaran terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kesucian maruah manusia Muslim.


Kewibawaan USF tidak sirna seusai memimpin ABIM. Siri Kuliah Tafsir Maudhuiyy (KTM) yang dipimpin beliau semenjak 23 Mei 1998, seakan menjadi program wajib untuk warga ABIM serta masyarakat yang hadir dari seluruh pelosok negara.


Bahkan walaupun Kuliah Tafsir Maudhuiyy boleh diikuti menerusi siaran langsung serta streaming internet, ramai yang tetap datang dari jauh untuk menadah ilmu sebagai bekal untuk mengukuhkan kiprah mereka di lapangan dakwah.


Taktala umat serta negara bergelut dengan pelbagai polemik, hikmah serta buah fikiran tetap menjadi rujukan utama. Persoalan jatidiri Islam dan Melayu telah dapat dirungkai dengan kemas menerusi satu lagi magnus opusnya, Islam dan Melayu: Martabat Umat Daulat Rakyat, taktala orang Melayu di negara ini cuba dicengkam dengan sentimen perkauman serta keagamaan yang sempit.


Beliau juga telah memimpin kepeloporan wacana Maqasid As-Syar’iah dan gagasan Al-Islam Rahmatan Lil Alamin, pembinaan bangsa Malaysia berasaskan konsep kepelbagaian dalam bingkai kesatuan, yang mana ia dijadikan rujukan kontemporari umat Islam khususnya menuju detik bersejarah 9 Mei 2018 (Pilihan Raya Umum ke 14) yang lalu.


Atas segala sumbangan beliau dalam pemikiran Islam dan kelangsungan agenda Islamisasi di tanah air, Ustaz Siddiq Fadzil telah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440H/2018M.


Walaupun tampak keberatan dengan pengiktirafan ini, beliau mengatakan bahawa “Saya menerima anugerah ini mewakili para daie dan para pendidik yang mendedikasikan jiwa mereka dalam mendidik dan mengislahkan umat”, menerusi video yang disediakan pihak penganjur.


Ilmuan umatik sejati


Pengiktirafan ini bukanlah noktah dalam perjuangan beliau. Anugerah ini disusuli dengan syarahan Hijrah Ke Malaysia Baharu: Mencari Makna Di Balik Kata di mana USF menyimpulkan syarahan itu dengan petikan kata-kata berikut:


“Di balik kata Malaysia Baharu tersirat makna sebunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya. Malaysia Baharu harus benar-benar suatu departure, suatu anjakan mendasar dari era sebelumnya, era yang tercedera dengan rasuah, penyalahgunaan kuasam pelanggaran hak asasi manusia dan keruntuhan nilai-nilai moral.”


Terdahulu, menerusi pidato penerimaan anugerah tokoh Maal Hijrah negeri Perak tahun 2006, anak kelahiran Kampung Sungai Tiang, Bagan Datoh ini menegaskan bahawa para ilmuwan mempunyai amanat untuk meneruskan misi tahriry-tanwiriy (misi pembebasan dan pencerahan) yang mana menurut USF,


“…harus diterjemahkan secara nyata dalam gerakan menghijrahkan bangsa dari gelita kejahilan kepada cahaya keilmuan, dari kebekuan kepada kecedasan akal rasional, dari kehaiwanan kepada keinsanan, dari kehinaan kepada kemuliaan”.


Kewibawaan diiktiraf


Sebagai seorang intelengensia, beliau telah menyumbang kepada dunia akademik melalui menerusi khidmatnya sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan semasa memimpin Kolej Dar al-Hikmah (KDH).


Kewibawaannya juga diiktiraf apabila USF pernah diamanahkan sebagai pengerusi Akademi Kajian Ketamadunan (AKK), ahli panel Akademi Pengurusan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) dan pengerusi Pusat Kajian Maqasid Shariah IDE.


Keberadaan di posisi tersebut tidak membuatkan beliau kaku daripada melaksanakan amanahnya selaku ilmuwan. Semasa di YaPEIM beliau telah menerbitkan monograf Pengurusan Tawhidik. Pusat Kajian Maqāṣid al-Sharī‘ah IDE di bawah kepimpinan beliau telah menghidupkan dinamika baharu terhadap kefahaman mengenai aplikasi Maqasid Shariah dengan makna yang lebih holistik.


Ini antara sekelumit khazanah pemikiran yang dibina Ustaz Siddiq Fadzil, yang merupakan lulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Namun seperti mana yang dinukilkan oleh seorang pemikir taktala menerima berita pemergian USF, apa yang membezakan tokoh ini dengan sesetengah ilmuan lain ialah KPI (Petunjuk Prestasi Utama) bukan dalam bentuk menulis ratusan buku. Tetapi Ustaz Siddiq Fadzil telah mencetak ribuan generasi ilmuan yang berkhidmat menerusi bidang dan lapangan yang pelbagai.


Dedikasi buat seorang guru tua


Ustaz Siddiq Fadzil tidak hanya meninggalkan nostalgia dalam bentuk syarahan-syarahan yang menawan serta pidato-pidato yang memukau. Sebalik kita perlu memanfaatkan butiran hikmah yang dikongsikan kepada kita untuk dijadikan sebagai panduan. USF mendidik kita menjadi Melayu yang berjati diri, Muslim yang berbudaya dan bangsa Malaysia yang berprinsip.


Tokoh ini tidak gemar diagungkan dengan panggilan Tuan Guru. Ustaz Siddiq Fadzil kerap kali menyebut dirinya sebagai ‘Guru Tua dari Surada (Sungai Ramal Dalam)’. Beliau telah meninggalkan sejumlah karya sebagai wasiat kepada kita.


Di penghujung pidato sempena majlis pengkisahan 40 tahun ABIM di Unisel pada 2011, USF tampak sebak bila menyatakan:


“…..generasi yang seperti saya ini, hanya ingin mendidik adik-adik dan anak-anak….” (beliau berhenti sejenak sambil menahan sebak)….dan sambungnya lagi, “Kalau berjuang jangan mengharapkan apa-apa. Tidak ada yang lebih penting daripada mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa-Ta’ala.”


Terdahulu dalam majlis yang sama Ustaz Siddiq mengimbau asas yang membolehkan ABIM mencetuskan fenomena kebangkitan Islam yang fenomenal iaitu:


“Rahsianya adalah komitmen bekerja keras dan ikhlas. Itulah senjata kita. Itulah rahsia kebangkitan 1970an. Selama 40 tahun di dalam gelanggang dakwah, kerja keras dengan ikhlas membawa barakah. Kita amat percaya kepada barakah. Modal besar mana pun tidak akan sampai ke mana-mana. Kuasa dan wang ringgit tidak menjamin barakah.”


Dalam satu kesempatan lain beliau mengingatkan,“Kita tidak menipu, tidak membohong, tidak menganiaya – ini agar semuanya kerana Allah. Kita tidak bimbang dengan yang lain yang bangkit dengan keangkuhan – ‘arrogance’. Kita tidak pernah dan tidak akan percaya fenomena sehebat mana pun jika terdapat unsur ‘arrogance’ – sama ada ketakaburan intelektual atau kesombongan bentuk lain. Ilmuwan harus tawaduk.”


USF pernah menyebut semasa zaman beliau belajar, pelajar UKM merasa nyaman bernaung di bawah teduhan ilmu Prof. Tan Sri Syed Naquib al-Attas, manakala pelajar UM terasa bugar di bawah naungan ilmu Prof. Diraja Ungku Aziz. Para aktivis WADAH-ABIM-PKPIM juga pasti sempat merasa teduhnya bernaung di bawah rimbunan idealisme seorang Ustaz Siddiq Fadzil.


Sedihnya bukan kepalang. Pulang sudah Murabbi kesayangan umat. Namun, ketibaan ajal, tidak datang awal atau lambat. Walau sesaat.


Salam takziah pada seluruh ahli keluarga dan kaum kerabatnya. Semoga semua jasa USF dibalas Allah Subhanahu wa-Ta’ala dengan syurga. Inna lillah wa inna ilaihi rajiun. Kehilangan ini amat besar buat umat Islam.

__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Naib Presiden ABIM.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page