top of page

Tiga Tahun Pasca PRU15: Kestabilan, Pertumbuhan Ekonomi Kembalikan Maruah M'sia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 2 min read
Detik pertama kali DS Anwar melangkah masuk kompleks Seri Perdana merupakan detik perubahan Malaysia
Detik pertama kali DS Anwar melangkah masuk kompleks Seri Perdana merupakan detik perubahan Malaysia

Oleh: Andre Lai Chen Heng


ULASAN: Siapa boleh lupa tarikh Pilihan Raya Umum ke 15 pada 19 November 2022? Hari-hari selepas itu sangat memenatkan—seluruh negara terasa ibarat sebuah kereta yang tersangkut di lumpur. Parlimen tergantung selama empat hari, dan rakyat serabut dengan ketidakpastian politik. Kita saksikan pergelutan kuasa, tawar-menawar yang berlarutan, dan di sebalik itu, wujudnya rasa putus asa.


Namun, tiga tahun telah berlalu. Hari ini, jika kita melihat semula perjalanan ini, kita akan dapati landskap politik dan ekonomi Malaysia telah berubah sepenuhnya. Kerajaan Perpaduan—yang pada awalnya disindir macam-macam dan diramal tumbang dalam masa tiga bulan—bukan sahaja berjaya bertahan, malah telah meletakkan asas kukuh untuk sebuah kestabilan yang didambakan oleh rakyat dan pelabur.


Pelabur asing kembali yakin


Ini adalah pencapaian terbesar. Cuba kita lihat data tiga tahun ini; ia bercakap sendiri. Kestabilan politik yang dikemudi secara utuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengembalikan sepenuhnya keyakinan pelabur.


Ledakan pelaburan asing daripada gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, dan Nvidia bukan berlaku secara kebetulan. Ini adalah hasil daripada dasar-dasar yang ada hala tuju jelas, di samping persekitaran perniagaan yang menjamin kelangsungan pelaburan mereka.


Seiring dengan kemasukan FDI yang tinggi ini, nilai Ringgit kita juga nampak makin baik berbanding paras terendah yang dicapai dahulu, petanda fundamental ekonomi yang sihat. Ini adalah bukti Malaysia sudah kembali di peta persaingan global.


Paling penting, kerajaan berani membuat keputusan yang tidak popular demi kepentingan jangka panjang negara. Penyasaran subsidi diesel dan elektrik, misalnya, adalah langkah fiskal yang sukar dan memerlukan keberanian politik yang tinggi, tetapi ia sangat perlu untuk mengurangkan ketirisan yang menelan berbilion ringgit setiap tahun. Langkah ini menunjukkan bahawa kerajaan sanggup menanggung risiko demi menyelamatkan kewangan negara daripada masalah struktur.


Nasib rakyat lebih terbela


Dalam masa sama, nasib rakyat tidak pernah diabaikan. Kita saksikan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam (SSPA) yang lama tertangguh dan inisiatif Dasar Gaji Progresif. Ini adalah komitmen kerajaan untuk mengangkat pendapatan rakyat dan membina kelas menengah yang mampan


Bukan itu sahaja. Terdapat fokus kepada pembaikan infrastruktur asas seperti sekolah daif dan klinik desa. Inisiatif-inisiatif ini menyentuh terus kualiti hidup rakyat marhaen, membuktikan pembangunan yang dilakukan adalah berteraskan nilai dan ihsan.


Tiga tahun telah berlalu, dan kapal negara ini kini sudah kembali berlayar dengan kompas yang jelas. Kita sudah berjaya melepasi fasa huru-hara politik dan kini semua pihak fokus membina negara. Walaupun kita tidak boleh nafikan cabaran kos sara hidup global masih wujud, kita boleh menarik nafas lega kerana asas kestabilan dan hala tuju reformasi negara kita sudah betul dan kukuh. Naratif baharu ini, yang dibina atas perpaduan dan tekad politik, harus diraikan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page