Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggiatkan usaha bagi pembebasan Palestin dari pencerobohan dan keganasan rejim Israel.
Terbaharu, beliau melalui satu catatan di laman Facebooknya memaklumkan sudah meminta Turkiye dan Arab Saudi dihubungi untuk menyatakan kewajaran mengadakan sidang tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tegasnya diberi tanggungjawab menghubungi kerajaan kedua-dua negara itu.
"Sidang ini juga harus melibatkan negara-negara seperti Brazil, Rusia dan China yang menyatakan sikap tegas menentang keganasan Israel," katanya dipetik.
Terdahulu, Perdana Menteri di Dewan Rakyat menyatakan sokongan kuat Malaysia terhadap cadangan Turkiye dan Arab Saudi untuk mengadakan mesyuarat tergempar OIC bagi membincangkan isu Palestin.
Malaysia dan Turkiye menjalin kerjasama erat dalam isu Palestin termasuk berkaitan penyelarasan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perkara itu diakui Duta Besar Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel yang turut mendedahkan ia perkara yang dibincang oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Anwar semasa lawatan dua hari Perdana Menteri ke Turkiye pada 21 Oktober lalu.
Comentarios