
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa supaya tumpuan sidang Parlimen yang dijangka berlangsung sebelum 1 Ogos ini mengutamakan masalah rakyat, bukannya isu politik semata-mata.
Beliau berkata, Dewan Rakyat perlu memastikan wakil rakyat mengangkat suara rakyat dan memberi kritikan konstruktif ke atas dasar, perbelanjaan, program serta undang-undang yang dirangka kerajaan.
Katanya, maklum balas dan suara rakyat perlu dibawa ke dalam sidang Dewan Rakyat terutamanya mereka yang sedang bergelut dengan kesan keperitan ekonomi, mental dan nyawa akibat pandemik Covid-19.
Ini termasuklah memperkenalkan beberapa rang undang-undang secepat mungkin.
“Antaranya termasuk pengenalan semula Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 yang juga
melibatkan institusi kewangan yang meliputi pembayaran balik ansuran beserta faedah yang dikenakan, Akta Gangguan Seksual dan Akta Profesion Kerja Sosial agar dapat memartabat serta memudah cara peranan pekerja
sosial atau kebajikan yang keperluannya sangat meruncing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Juga pindaan kepada Akta Pekerja yang memastikan semua pekerja dilindungi daripada risiko sewaktu kerja dan dibekal dengan skim perlindungan sosial secara automatik dan meneliti Akta Penyalahgunaan Dadah dan Substan yang diumum bakal menggantikan Akta Penagih Dadah 1983 dilulus secepat mungkin supaya lebih ramai penagih mampu mendapat rawatan, dipulih dan bukannya dipenjara,” katanya.
Tambah Nurul Izzah, tinjauan tentang jenis-jenis kemiskinan dan keperluan di kalangan masyarakat Permatang Pauh yang diusahakan baru-baru ini juga
mendapati tiadanya sokongan kesihatan mental yang memadai ketika rakyat sedang mengharungi pandemik.
"Sejak dari dulu saya menganjurkan agar kita utamakan kebajikan golongan wanita, kanak-kanak dan golongan rentan. Pandemik ini telah mendedahkan kerapuhan sistem kebajikan; perlindungan sosial serta kesihatan apabila diasak secara berterusan. Ianya juga menyediakan peluang untuk kita perbaiki kelemahan yang ada.
"Dewan Rakyat yang berfungsi dengan baik dapat memastikan wakil rakyat mengangkat suara rakyat dan memberi kritikan konstruktif ke atas dasar, perbelanjaan, program serta undang-undang yang dirangka kerajaan.
"Yang paling penting adalah agar perdebatan yang berlangsung mengutamakan penyelesaian masalah rakyat di bawah dan bukannya isu memanfaatkan orang politik.
"Saya terus mengusahakan kesemua isu ini apabila Parlimen bersidang kelak; disamping menjalankan tanggungjawab saya selaku ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)," katanya.
Comments