Sidang khas RCI Tabung Haji dijangka berlangsung tanpa rehat
- Suara Keadilan
- 30 minutes ago
- 2 min read

Sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji pada 11 Ogos ini dijangka berlangsung secara berterusan tanpa waktu rehat susulan minat tinggi Ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam sesi tersebut.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat telah bersetuju agar sidang khas itu diadakan tanpa waktu rehat memandangkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk membahaskan laporan berkenaan.
"Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa Speaker telah bersetuju bahawa sidang ini akan diadakan secara berterusan tanpa waktu rehat.
"Pada ketika ini dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan isu tersebut," katanya pada sidang media pasca-Kabinet di Putrajaya hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata orang ramai juga boleh mengikuti perjalanan sidang khas itu menerusi siaran langsung di saluran media rasmi sepanjang persidangan berlangsung.
Sidang khas itu diadakan susulan pendedahan Laporan RCI Tabung Haji yang antara lain merumuskan pengurusan institusi berkenaan berdepan pelbagai kelemahan tadbir urus dan keputusan pelaburan pada tempoh sebelum 2018 sehingga menjejaskan kedudukan kewangannya.
Laporan itu turut mengemukakan pelbagai syor pembaharuan termasuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan pengurusan, mengasingkan campur tangan politik daripada pentadbiran Tabung Haji serta melaksanakan audit forensik terhadap beberapa urus niaga dan syarikat yang dikenal pasti.
RCI Tabung Haji yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif ditubuhkan pada 2022 bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Laporan yang telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini mengandungi dapatan serta syor penambahbaikan tadbir urus institusi berkenaan selain menjadi asas kepada tindakan penguatkuasaan lanjut terhadap pihak yang dikenal pasti.
Laporan RCI yang didedahkan kepada umum minggu lalu turut mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan pengurusan Tabung Haji sebelum 2018 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
