Sidang khas Parlimen RCI Tabung Haji dipercepatkan - Fahmi
- Suara Keadilan
- 9 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI bercadang mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata walaupun Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen hanya dijadual bermula awal Oktober, kerajaan mahu isu itu dibincangkan lebih awal memandangkan kepentingannya kepada negara.
Menurutnya, Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengadakan perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menetapkan tarikh sidang khas berkenaan.
"Perdana Menteri berharap sidang khas ini dapat diadakan dalam masa yang tidak terlalu lama kerana perkara ini sangat penting dan perlu diteliti serta dibahaskan oleh Ahli Parlimen," katanya dipetik laporan media.
Jemaah Menteri pada Rabu bersetuju menyahklasifikasikan laporan RCI TH yang sebelum ini diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Mesyuarat Jemaah Menteri turut menerima taklimat daripada Pengerusi TH yang juga anggota RCI, Abdul Rashid Hussain, berhubung dapatan siasatan dan perkembangan pelaksanaan syor yang dikemukakan suruhanjaya itu.
"Abdul Rashid menjelaskan pendedahan laporan itu mengambil sedikit masa kerana pengurusan TH memberi keutamaan kepada usaha memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan serta melaksanakan cadangan penambahbaikan yang disyorkan.
"Beliau memaklumkan sebab laporan ini hanya didedahkan selepas beberapa tahun kerana pihak pengurusan perlu memberi tumpuan kepada usaha pemulihan. Daripada 25 syor yang dikemukakan RCI, sebanyak 75 peratus telah berjaya dilaksanakan oleh pengurusan sedia ada.
"Usaha pemulihan itu juga dapat dilihat menerusi pengumuman kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun lalu," kata Fahmi lagi.
